There was an error in this gadget

Tuesday, September 13, 2011

SPRM: Kematian Ahmad Sarbaini mati mengejut

SPRM: Kematian Ahmad Sarbaini mati mengejut
Sep 12, 11 7:32pm

Keputusan inkues berhubung kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed, perlu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam inkues itu berkata, tiada sedikitpun keterangan untuk mencadangkan bahawa kematian beliau disebabkan dibunuh atau terdapat pembabitan pihak ketiga seperti didakwa seorang peguam bagi keluarga itu, Awtar Singh.

Muhammad Shafee juga menjelaskan bahawa analisis DNA menunjukkan tiada pembabitan pihak ketiga berhubung kematian mangsa.

"Ketidakhadiran keterangan DNA mengaitkan mana-mana pegawai SPRM kepada kematian Ahmad Sarbaini dan ketidakhadiran luka akibat mempertahankan diri ke atas mangsa jelas menunjukkan bahawa tiada pegawai SPRM yang terbabit secara jenayah berhubung kematian mangsa. Oleh itu, kami merumuskan bahawa keputusan adalah disebabkan kematian mengejut," katanya.

Dalam penghujahan secara bertulis 112 halaman kepada Koroner Aizatul Akmal Maharani yang mendengar inkues itu, Muhammad Shafee berkata, tiada secebis bukti bahawa mangsa didera secara fizikal atau mendapat layanan yang teruk ketika kenyataannya direkodkan pegawai SPRM pada 4 April atau pada hari kematiannya pada 6 April 2011.

Muhammad Shafee berkata, terdapat keterangan yang lebih daripada mencukupi bagi menunjukkan bahawa Ahmad Sarbaini dengan kerelaannya, keluar daripada tingkap pantri di tingkat tiga bangunan SPRM.

Ia termasuk keterangan patologi forensik yang menunjukkan bahawa keadaan di pantri itu tidak mencadangkan berlaku pergelutan dan begitu juga dengan keterangan yang menunjukkan bahawa semua kecederaan yang dialami Ahmad Sarbaini secara konsisten adalah kerana jatuh dari tempat tinggi, kata Muhammad Shafee.

Beliau berkata, kematian Ahmad Sarbaini disebabkan kecederaan teruk di kepala dan kedudukan asfiksia seperti yang diputuskan ahli patologi forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Faridah Mohd Noor dan Dr Shahrom Abdul Wahid melalui laporan mereka dan keterangan mereka ketika prosiding inkues itu.

Muhammad Shafee berkata, mangsa mati selepas jatuh dari belebas tingkap di tingkat tiga tingkat bilik pantri dan ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane.

"Keterangan meletakkan mangsa di luar tingkap dan ada keterangan yang cenderung menunjukkan bahawa mangsa cuba untuk melompat ke bumbung yang terletak di sebelah kanan tetapi hilang imbangan. Beliau tergelincir dan jatuh lalu mati," kata Muhammad Shafee.

Beliau berkata, ketiadaan tanda pergelutan di pantri dan luka kerana mempertahankan diri pada mangsa menunjukkan beliau tidak dipaksa keluar daripada tingkat tiga tingkap bilik pantri.

Muhammad Shafee juga menjelaskan bahawa SPRM tidak mempunyai sebab untuk marah atau kecewa memandangkan bahawa mangsa bercadang untuk menukar kenyataannya pada 6 April 2011.

"Ini memandangkan bahawa mangsa tidak mungkin dapat menukar kenyataannya seperti yang dinyatakan oleh pegawai penyiasat SPRM, Abdul Ghani Ali ketika perjumpaan itu yang dipengerusikan oleh Penolong Pesuruhjaya SPRM, Mohamad Fauzi Husin pada hari itu (6 April).

"Awtar (peguam keluarga Ahmad Sarbaini) dan malah Raja Petra Kamaruddin (seorang penulis blog) melalui laman blognya, berkongsi sentimen yang sama bahawa SPRM begitu marah apabila mangsa bercadang menukar atau menarik balik kenyataannya," katanya.

Muhammad Shafee berkata, dalam kenyataannya, Abdul Ghani berkata, sepucuk surat representasi perlu ditulis kepada SPRM atau beliau jika seseorang itu mahu menukar atau menarik balik kenyataannya.

Sementara itu, dalam penghujahan bertulis 19 halaman, Awtar berkata, wujud elemen 'main kotor' oleh SPRM yang menyebabkan kematian Ahmad Sarbaini.

"Mungkin SPRM tidak berniat menyebabkan kecederaan kepada mangsa atau membunuhnya, tetapi terdapat elemen kecuaian dalam kes ini yang menyebabkan kematian Ahmad Sarbaini," katanya.

Awtar berkata, siasatan ke atas kematian Ahmad Sarbaini tidak begitu lengkap kerana banyak persoalan masih belum berjawab termasuk kenapa mangsa berada di luar tingkap.

Beliau berkata, keterangan yang dikemukakan jelas menunjukkan bahawa mangsa tidak cuba membunuh diri sendiri, dibunuh oleh seseorang atau mati secara mengejut.

"Tiada sebab bagi mangsa memanjat keluar tingkap memandangkan sebagai pelawat beliau boleh keluar dari bangunan SPRM pada bila-bila masa," katanya.

Koroner akan memutuskan pada 26 September mengenai inkues itu yang bermula pada 4 Julai dan berakhir 4 Ogos.

Hari ini, kedua-dua pihak bertemu Koroner Aizatul untuk mendapatkan penjelasan bagi penghujahan mereka yang dikemukakan kepada koroner pada 25 Oogos.

Bagaimanapun, koroner berkata, tiada keperluan bagi kedua-dua pihak itu untuk mendapatkan penjelasan berhubung penghujahan mereka kerana ia adalah sangat jelas.

Kertas penghujahan diedarkan kepada media hari ini.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/175604

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...