KUALA LUMPUR, 13 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat mahu cukai enam peratus kad prabayar bukan ditangguhkan tetapi dimansuhkan terus.
Ketuanya Nasruddin Hassan berkata, ianya demi kepentingan rakyat khasnya warga muda negara yang sedah sedia terbeban dengan pelbagai peningkatan kos hidup.
"Jika sistem cukai ini diteruskan, golongan yang paling menerima kesan adalah golongan muda, pelajar dan golongan berpendapatan rendah yang terpaksa mengikat perut menghadapi kos sara hidup yang makin tinggi, berbanding pihak kerajaan yang terus mengaut hasil cukai atas keperitan rakyat.
"Kita juga berpendapat, impak langsung cukai ini kepada golongan pengguna adalah sama dengan impak cukai GST yang akan diperkenalkan oleh kerajaan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerajaan semalam melalui Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim mengumumkan bahawa kerajaan dan semua syarikat telekomunikasi (telco) bersetuju menangguhkan kutipan cukai berkenaan yang sepatutnya bermula 15 September ini.
Penangguhan itu katanya sehingga perbincangan semula dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Kita menggesa pihak kerajaan sebagai pihak yang bertanggungjawab memperkenal dan mengutip hasil cukai ini agar tidak mengambil kesempatan untuk mengaut laba daripada penggunaan telekomunikasi yang tidak anjal (inelastic demand) dan mengharapkan cukai perkhidmatan 6% ini terus dimansuhkan sebagai tanda prihatin kepada generasi muda di dalam Bajet 2012 yang akan diumumkan pada Oktober ini," katanya lagi.
Mengulas lanjut perkara itu, Nasruddin berkata jika pihak kerajaan sekarang tidak mampu melaksanakan, Dewan Pemuda begitu yakin pihak kerajaan Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya jika diberi mandat oleh rakyat bersesuaian dengan agenda Membangun Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS.
PAS dalam responya semalam mendakwa penangguhan itu hanya bersifat sementara bagi meredakan kemarahan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Cukai itu juga menurut PAS, bukan baru malah telah dimasukkan dalam pembentangan bajet 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Oktober tahun lalu.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5374-cukai-prabayar-pas-gesa-hapus-bukan-tangguh
No comments:
Post a Comment