Tuesday, September 13, 2011

5 SYARAT PAKATAN UNTUK SERTAI PSC

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 13TH, 2011

Pakatan Rakyat hari ini menawarkan komitmen dan kerjasama sepenuhnya untuk menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mereformasikan sistem pilihan raya di Malaysia.Tawaran itu disertai lima syarat yang perlu dipenuhi Najib sekiranya beliau benar-benar serius mahu mereformasikan sistem pilihan raya Malaysia.

Pengumuman itu dibuat Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub pada sidang media di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut tengahari tadi.

“Pakatan tawar komitmen dan kerjasama penuh kepada PSC yang akan ditubuhkan pada (sidang Parlimen) 3 Oktober ini,” kata Naib Presiden Pas itu.

Dua syarat pertama adalah menerima lapan perkara yang dituntut Bersih dan melaksanakan segera cadangan yang di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya, dan menetapkan tarikh pilihan raya umum secara muafakat di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Salahuddin berkata, sekiranya dua syarat pertama diterima, PSC perlu diberikan masa masa dan ruang secukupnya untuk berbincang untuk mewujudkan cadangan reformasi pilihan raya.

Syarat keempat pula adalah memasukkan agenda pemberian kewarganegaraan kepada rakyat sebagai salah satu perkara yang dibincangkan PSC.

Manakala syarat kelima adalah, semua tuntutan dan cadangan PSC perlu ditunaikan kerajaan sepenuhnya.

Bercakap lanjut, Salahuddin berkata sekiranya tuntutan itu tidak dipertimbangkan Najib sebelum penubuhan PSC 3 Oktober ini dan Najib tetap tidak melaksanakan sebarang reformasi pilihan raya, beliau perlu bersedia menghadapi gelombang ketiga gerakan Bersih.

“Sekiranya tuntutan ini tidak dijelaskan, (ia membuktikan) PSC adalah tidak lebih daripada ‘window dressing’ semata-mata dan Bersih 3.0 akan mengambil tempat,” kata Salahuddin.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang turut hadir berkata syarat-syarat itu diberikan kerana Najib sebelum ini dilihat tidak mengambil serius usaha untuk mereformasikan pilihan raya.

Beliau menuntut Najib memberi maklum balas segera berhubung lima syarat itu.

“PM seharusnya jawab dan beri maklum balas secepat mungkin,” kata Izzah.


http://www.kl-today.com/2011/09/5-syarat-pakatan-untuk-sertai-psc/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...