Tuesday, September 13, 2011

Penduduk berkumpul bantah kerja sukat tanah

Sep 10, 11 4:39pm

Sekumpulan penduduk Kampung Baru Batu 18 dekat Padang Besar membantah kerja-kerja menyukat tanah di kawasan itu yang dikaitkan dengan pengeluaran geran tanah untuk individu tertentu.

Kira-kira 80 penduduk berkumpul secara aman bagi menghalang kerja-kerja menyukat itu, namun mereka akhirnya bersurai selepas kehadiran polis.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu, Che Mid Man berkata penduduk kecewa kerana permohonan mendapatkan geran tanah sejak awal tahun 60-an tidak berhasil.

Bagaimanapun, beliau berkata baru-baru ini, penduduk mendapat tahu beberapa individu dari luar memperoleh geran tanah di kawasan yang mereka duduki.

Che Mid mendakwa selepas geran tanah dikeluarkan, ada pihak datang untuk menyukat tanah bagi kawasan yang ditawarkan hak milik itu.

Beliau berkata, perkara itu akan dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Che Mid juga berharap ADUN Titi Tinggi Yip Sun Onn yang hadir di perhimpunan aman itu, membantu mereka menyelesaikan
masalah tersebut.

Seorang penduduk, Azmi Che Pi, 37, berkata tanah yang didudukinya adalah warisan keluarga dan permohonan mendapatkan geran tanah dibuat sejak puluhan tahun lalu, namun tidak berhasil.

Beliau berharap penduduk kampung itu diberi keutamaan mendapatkan geran kerana mereka telah lama mengusahakan tanah di kawasan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Perhutanan dan Penguatkuasaan Perlis Datuk Mat Rawi Kassim, ketika dihubungi berkata beliau akan menyiasat perkara tersebut dari pelbagai sudut

Beliau bercadang bertemu penduduk terbabit Isnin ini bagi mendapatkan gambaran jelas serta maklumat berkaitan perkara itu.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/175396

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...