Tuesday, September 13, 2011

Kini Telco sah tangguh cukai, belum batal

Posted by admin on September 12th, 2011

Semua syarikat telekomunikasi (telco) bersetuju menangguhkan kutipan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pengguna talian telefon prabayar sehingga perbincangan semula dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).Khamis lalu, syarikat berkenaan mengumumkan mereka akan mula mengutip cukai perkhidmatan enam peratus untuk perkhidmatan prabayar mulai Jumaat ini.
Keputusan menangguhkan kutipan cukai itu dibuat selepas mesyuarat dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim.

Katanya, antara cadangan yang dibincangkan bersama telco adalah caj enam peratus itu hanya dikenakan kepada pengguna yang membeli pek permulaan prabayar.

“Setakat ini, itu saja yang kita boleh beritahu.

“Kerajaan akan mengambil kira sumbangan RM6 bilion oleh TELCO kepada sumber pendapatan negara dari 1998 hingga kini sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya pada sidang media, di Angkasapuri, di Kuala Lumpur.

Hadir sama, wakil dari Celcom Axiata Berhad (Celcom), DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGiTel), Maxis Berhad, dan UMOBILE Sdn Bhd (U Mobile).

Cukai perkhidmatan 6 peratus yang dikenakan ke atas pelanggan diperuntukkan mengikut undang-undang negara.

Akta Perkhidmatan Cukai 1975 mensyaratkan syarikat telekomunikasi mengenakan cukai perkhidmatan, termasuk ke atas pengguna prabayar.

Bayaran ini sama dengan cukai perkhidmatan yang dikenakan bagi pembelian makanan dan minuman daripada restoran dan hotel.

Meskipun cukai perkhidmatan ke atas pengguna prabayar bukan baru, namun syarikat telco telah menyerap kos itu sejak perkhidmatan mereka diperkenalkan pada 1998.

Tindakan tersebut telah mendapat bantahan perbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan pengguna dan orang ramai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu meminta TELCO untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk mengenakan caj tersebut kepada hampir 14.6 juta rakyat negara ini yang menggunakan pelan prabayar tersebut.

Kabinet tidak pernah meluluskan kepada TELCO untuk mengenakan caj sebanyak enam peratus itu kepada pengguna mereka.

Semalam, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan memberi jaminan caj cukai perkhidmatan enam peratus kepada pengguna perkhidmatan mudah alih prabayar tidak akan dilaksana selagi belum ada keputusan kerajaan.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Maglin Dennis D’Cruz berkata syarikat telekomunikasi (telco) perlu berbincang dan mendapat persetujuan kerajaan terlebih sebelum melaksanakan tindakan tersebut.

“Kementerian memberi jaminan bahawa tiada kenaikan akan berlaku pada masa terdekat ini, dan sebarang kenaikan hanya boleh dilakukan selepas mendapat persetujuan dari kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia,” katanya pada sidang media, di sini, Ahad.


http://www.kl-today.com/2011/09/kini-telco-sah-tangguh-belum-batal/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...