KUALA LUMPUR,13 Sept: PAS akan membuat pemantauan bagi memastikan pekebun kecil mendapat insentif untuk projek tanaman semula getah di bawah Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar) berkata, PAS menyambut baik pengumuman kerajaan untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM121 juta kepada Risda bagi menampung kos penanaman semula getah di seluruh negara bermula tahun depan.
Namun katanya, pemantauan harus dibuat bagi memastikan peruntukan itu sampai kepada pekebun kecil yang memerlukan.
"Saya mengalu-alukan pengumuman Risda akan dapat peruntukan RM121 juta sebab apa yang berlaku sebelum ini, peruntukan untuk duit tanam semula itu tidak mencukupi.
"PAS akan memantau untuk memastikan pekebun kecil yang dalam proses untuk tanam semula mendapat insentif yang sepatutnya," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Semalam, Pengerusi Risda, Tan Sri Rahim Tamby Chik meminta pekebun kecil khususnya yang kurang berkemampuan merebut peluang untuk memohon projek penanaman semula getah di ladang mereka.
Mazlan yang juga Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat juga berkata, peruntukan itu juga diharapkan dapat menangani masalah kelewatan pembayaran insentif sebelum ini.
"Pihak kami telah mengadakan pertemuan dengan pihak Risda sebelum ini dan mereka mengaku kelambatan pembayaran insentif kepada pekebun disebabkan peruntukan yang diberikan kerajaan tidak mencukupi.
"Jadi dengan pengumuman itu saya fikir masalah kelewatan dan juga kegagalan untuk mendapatkan wang tanam semula getah ini tidak berbangkit lagi," katanya.
Selain itu, beliau juga menggesa Risda turut membayar insentif pekebun kecil yang tidak dapat dibayar sebelum ini, bukan hanya membuat pembayaran untuk tahun hadapan sahaja.
"Peruntukan ini untuk tahun 2012 sahaja jadi kita minta pekebun yang tak dapat insentif pada tahun 2011 dibayar juga. Mana boleh kerajaan bayar untuk tahun 2012 tapi tak bayar yang lepas-lepas.
"Kalau hanya bayar untuk tahun 2012 nampak sangat ianya untuk menghadapi pilihan raya," katanya.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5382-pas-pantau-janji-isentif-pekebun-risda
No comments:
Post a Comment