There was an error in this gadget

Tuesday, September 13, 2011

Najib timbang mansuh ISA menjelang PRU-13

Jahabar Sadiq, Editor TMI

KUALA LUMPUR, 12 Sept: Datuk Seri Najib Razak (gambar) kemungkinan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang menjadi kritikan pembangkang, seawal minggu ini untuk mendapatkan momentum menjelang pilihan raya umum dalam waktu terdekat ini.

Najib mengambil alih jawatan perdana menteri pada April 2009 dengan janji mahu mengkaji semula undang-undang itu tetapi kredibiliti kepimpinan perdana menteri yang dipersoalkan dengan serius ekoran pendirian dasarnya yang sering berubah sedang mempertimbangkan untuk memansuhkan ISA.

ISA yang diperkenalkan lebih lima dekad lalu menyediakan peruntukan menahan seseorang tanpa perbicaraan.

The Malaysian Insider difahamkan ada sedikit “halangan” di Kementerian Dalam Negeri dan elemen-elemen sayap kanan dalam Umno sendiri, tetapi dengan mengambil kira keperluan Najib untuk mendapatkan sokongan golongan pertengahan, penasihatnya merasakan bahawa beliau perlu mengambil tindakan yang drastik.

“Pilihan beliau terhad,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

“Ada tentangan ke atas idea itu tetapi Perdana Menteri diyakinkan bahawa undang-undang itu tidak perlu memandangkan ada undang-undang lain untuk berurusan dengan keselamatan,” kata beliau merujuk kepada Ordinan Darurat, yang telah digunakan untuk menahan enam aktivis Bersih 2.0 dua bulan lalu.

Keenam-enam mereka telah dibebaskan kemudian tetapi dikenakan tuduhan lain.

Najib (gambar) dikritik teruk dengan cara beliau mengendalikan perhimpunan tersebut pada 9 Julai.

Kajian Merdeka Center pula menunjukkan populariti beliau menjunam terus sejak Mei 2010.

Kata satu sumber, Najib yang juga Presiden Umno mahu mendapatkan balik sokongan golongan pertengahan dengan mencuba usaha terbaru ini.

ISA telah digunakan dengan meluas ketika Operasi Lalang 1987. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan buat kali pertama di bawah ISA pada 1970-an dan kali kedua ditahan atas tuduhan liwat dan salah guna kuasa pada 1998.

Pada Julai lalu, Najib berkata kerajaan akan mengkaji akta-akta lain yang dilihat berkaitan dengan ISA bagi memastikan satu perubahan yang besar dalam usaha menangani keselamatan di negara ini.

Perdana Menteri berkata kajian dan perubahan melibatkan akta lain yang berkaitan dengan ISA dilihat perlu bagi kesesuaian keadaan semasa dan kehendak rakyat.

Sehari sebelum itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pindaan ISA perlu dibentang di Dewan Rakyat bersama enam akta undang-undang pencegahan yang berkaitan dan kajian semula akta itu akan dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama Majlis Peguam.

Hishamuddin berkata akta akta berkenaan termasuk Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang akan dikaji daripada aspek keberkesanan undang-undang dalam pencegahan jenayah; Seksyen 27 Akta Polis 1960 berkaitan perhimpunan awam yang tidak memerlukan permit; Akta Buang Negeri 1959 (Pindaan 1972) berkaitan sama ada undang-undang itu masih relevan.

Selain itu, Akta Kediaman Terhad 1933 berkaitan keberkesanan undang-undang dan perintah yang dikeluarkan dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 berkaitan tempoh tahanan, hak dan layanan terhadap tahanan, kuasa Menteri Dalam Negeri dan penahanan tanpa perbicaraan.

Hishammuddin berkata akta itu sebenarnya sudah lama dalam penelitian kementeriannya dan Pejabat Peguam Negara dan cadangan sama ada akta berkenaan akan dipinda atau dimansuhkan sedang diambil kira.

Najib berkata kerajaan serius dalam usaha membawa perubahan dalam soal keselamatan dalam negara ini.

“Kerajaan serius membawa perubahan dalam soal keselamatan dalam negara kita yang lebih terbuka, kita perlu lihat undang-undang lain juga supaya kita dapat membuat perubahan yang besar dalam menangani keselamatan negara kita.

“Kita akan buat kajian dan perubahan terhadap akta tersebut supaya lebih sesuai dengan keadaan semasa dan sesuai dengan kehendak rakyat,” kata Najib ketika itu.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5352-najib-timbang-mansuh-isa-menjelang-pru-13

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...