Friday, February 13, 2009

Budaya dan Agama alasan dera isteri - Shahrizat

Budaya alasan dera isteri

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Golongan lelaki tidak bertanggungjawab dikesan menggunakan budaya dan agama sebagai alasan untuk melakukan keganasan terhadap wanita, kata Penasihat Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, semalam.

Beliau berkata, pihaknya mengesan banyak kes penderaan yang menggunakan alasan itu berlaku di negara ini, tetapi wanita yang menjadi mangsa tidak membuat laporan kerana bimbang risiko yang dihadapi.

“Ramai wanita yang sengsara dalam diam kerana memikirkan tanggungjawab mereka sebagai isteri dan ibu...ramai yang berdiam diri dan menerima saja.

“Walhal dalam keadaan sekarang ini perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana mereka mempunyai hak seperti individu lain termasuk wanita,”
katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Terhadap Keganasan Wanita, Dr Yakin Erturk di pejabatnya di sini, semalam.

Shahrizat berkata, penjenayah yang melakukan perkara terkutuk itu tidak sepatutnya dilepaskan kerana tindakannya jelas melanggar undang-undang negara ini dan hukuman tegas perlu diambil terhadap mereka.

Justeru, katanya, golongan wanita diminta supaya tidak mendiamkan sebarang keganasan terhadap mereka, sebaliknya mengambil tindakan segera dengan melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

“Kita ada undang-undang dan mereka boleh mengikut lunas undang-undang yang ada. Mereka sepatutnya tahu tidak ada seseorang sama ada wanita atau lelaki yang boleh mencabuli hak dan keselamatan mereka,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090213085038/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...