KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent&Management Bhd. Freddie Fernandez hari ini menyangkal dakwaan bintang realiti AF2, Asma Ghani atau Mas bahawa syarikat tersebut telah mengambil wang sejumlah RM20,000 daripada penyanyi itu untuk menerbitkan album mininya.
“Mas kata dia melaburkan RM 20,000 untuk terbitkan album sebenarnya adalah tidak benar sama sekali.Ini bukan cara Maestro terbitkan album artis. Kami tidak pernah ambil duit artis yang bernaung di bawah syarikat kami.
“Maestro yang menanggung semua kos penerbitan album dia (Mas) walaupun kami tahu peluang untuk dapat semula modal pun susah,” katanya dalam satu sidang media di Maestro, hari ini.
Dalam laporan sebuah akhbar hari ini, Mas mendakwa pihak Maestro gagal menyiapkan albumnya setelah sekian lama, sedangkan dia telah melaburkan wang sebanyak RM20,000 kepada pihak terbabit.
Jelas Freddie, dia tidak tahu kenyataan sebenar mengenai isu tersebut namun apa yang diperkatakan oleh Mas tentang duitnya digunakan untuk menghasilkan album mini bintang realiti itu sama sekali tidak benar.
“Kami menerbitkan album dia (Mas) atas dasar simpati kerana kontraknya dengan Maestro telah tamat sejak dua tahun yang lalu.
“Pihak kami juga tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian dengan Mas untuk menghasilkan album ini, semuanya dilakukan secara lisan sahaja,” ujar Freddie dalam nada kecewa.
Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Maestro, Othman Mahmood berkata isu RM20,000 yang dikatakan oleh Mas itu mungkin timbul akibat salah faham.
“Masa awal-awal perbincangan mengenai album ini, pihak pengurusan sendiri telah berbincang dengan Mas, mereka akan melaburkan RM20,000 lebih untuk menerbitkan album ini. Saya rasa di sini Mas salah faham...,” ujar Man.
Tambah Man lagi, kelmarin dia sendiri telah menelefon Mas dan bintang realiti itu mengaku dia telah memberi duit yang dimaksudkan itu kepada Freddie.
“Saya sendiri pelik. Saya cakap pada Mas belum pernah terjadi dalam sejarah Maestro artis kena bayar duit untuk keluarkan album dan Maestro bukan syarikat Freddie tapi syarikat ini milik Astro,” katanya.
Namun menurut Man perkara tersebut telah dijelaskan sepenuhnya kepada ayah Mas, Ghani Gibie, 69 dan ayahnya juga sudah memahami perkara sebenar.
“Kami ada tanya dengan Mas pada siapa dia bagi duit tu. Kalau betul kami akan bawa orang yang bersalah ke muka pengadilan tak kira siapa dia. Tapi sekarang ini dia (Mas) dah rosakkan reputasi dan nama Maestro,” kata Man lagi.
Freddie yang ditanya mengenai tindakan yang bakal diambil oleh pihak Maestro untuk membersihkan nama baik syarikat itu berkata pihaknya tidak bercadang mengambil sebarang tindakan terhadap Mas.
“Dia (Mas) dah pernah masuk wad psikiatri sebelum ini, kalau masuk mahkamah pun dia lepas. Dia tak akan masuk penjara tapi akan dihantar ke rumah sakit jiwa lagi. Tak payah la kesian dia,”katanya.
Dalam pada itu, tegas Freddie untuk tidak mengeruhkan keadaan, selepas ini pihaknya bercadang untuk mengeluarkan tiga buah lagu yang telah dirakamkan dalam album mini itu sebagai single.
“Atas dasar simpati kami telah memutuskan untuk keluarkan tiga buah lagu yang telah dirakamkan dalam album ini sebagai single. Jadi kita tak payah fikir pasal album lagi.
“Kita jalan dengan tiga lagu single ini dan berikan kepada stesen-stesen radio untuk disiarkan.
“Namun semuanya perlu dilakukan selepas berbincang dengan Joe Wings. Kerana dia merupakan penerbit album mini Mas. Dia (Joe Wings) perlu siapkan kerja-kerja studio dan susunan muzik yang terakhir. Selepas itu barulah kami boleh hantar kepada stesen-stesen radio.
“Kami akan cuba untuk selesaikan masalah ini dalam masa dua minggu. Pihak kami akan berbincang dan minta persetujuan daripada Mas terlebih dahulu. Kalau dia tidak bersetuju kami akan fikirkan plan ‘B’,” ujar Freddie.
Tambah Freddie lagi, selepas ia disiarkan di radio, kita akan melihat respon daripada pendengar terlebih dahulu.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang memang jarang syarikat rakaman terbitkan album kerana orang pun tak suka beli album. Jadi saya fikir ini cara terbaik untuk selesaikan masalah ini.
“Kita telah berbincang dengan pihak pengurusan dan mereka telah bersetuju untuk edarkan single kepada stesen-stesen radio. Tapi kalau peminat tidak menyukai single tersebut, pihak kami tidak mampu buat apa-apa. Namun jika ada sambutan yang baik kami akan teruskan dengan penerbitan album pula,” ujarnya.
Difahamkan mini album Mas mengandungi empat buah lagu dimana tiga daripadanya telah disiapkan oleh Joe Wings.
Album tersebut tertangguh disebabkan masalah kesihatan dan Mas sendiri mengalami masalah vokal.
“Kami mengambil masa selama 40 jam untuk merakamkan sebuah lagu dan Joe Wings melabelkan Mas ‘tone deaf’ (buta muzik),” katanya.
Ditanya adakah pihak Maestro akan mengambil bintang realiti itu sebagai artis naugan mereka Freddie berkata:
“Kami tidak berminat. Kami harus lihat kepada permintaan daripada pihak penganjur untuk mengambilnya membuat persembahan. Kalau tiada tawaran yang diterima lebih baik kami lepaskan artis tersebut untuk bergerak sendiri.
“Dalam satu perniagaan yang kita buat, kita perlu hasilkan produk yang baik dan jika album tak laku lebih baik mereka (artis) cari kerja lain. Kebanjiran artis yang lahir daripada pelbagai program realiti membuatkan kami tidak mampu menguruskan semuanya dalam satu tempoh masa, jadi siapa yang berkualiti dan produktif mereka akan dapat meneruskan karier sebagai penyanyi.
“Industri kita sekarang berada dalam keadaan tenat, pasaran album pun tidak baik. Peminat lebih suka memuat turun lagu di internet. Itu yang membuatkan pasaran album lembap dan tak laku,” katanya.
No comments:
Post a Comment