KUALA LUMPUR: Raja Petra Raja Kamaruddin yang didakwa memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain hari ini gagal dalam usahanya supaya kes itu dikembalikan ke Mahkamah Majistret.
Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan agar kes tersebut kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen.
Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Ab Aziz memutuskan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret membenarkan permohonan pendakwa supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan adalah sah dan teratur.
Beliau berkata keputusan pemindahan kes tersebut yang dibuat Majistret Nazran Mohd Sham, pada 15 Ogos 2008 itu tidak bercanggah dengan Artikel 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Zainal Azman kemudiannya menolak notis usul untuk semakan yang difailkan Raja Petra pada 25 Nov, 2008, atas alasan permohonan tersebut tidak mempunyai merit dan berasas.Raja Petra, 59, memohon perintah Mahkamah Tinggi supaya merujuk isu pemindahan kes ke Mahkamah Persekutuan atas persoalan perlembagaan atau mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Majistret untuk dibicarakan.
Salah seorang daripada peguam Raja Petra, J.Chandra memberitahu media bahawa pihaknya akan menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan hari ini. Mahkamah Rayuan adalah tempat terakhir bagi Raja Petra merayu kerana kes di mahkamah rendah akan berakhir di Mahkamah Rayuan.BERNAMA
No comments:
Post a Comment