Musnah nyawa dan harta benda
Krisis kemarau yang paling buruk dalam sejarah dua negara menyebabkan ratusan nyawa melayang di Australia dan memusnahkan tanaman di China.
'KENANGAN indah selama 30 tahun yang menjadi lambang kemegahan mahligai perkahwinan saya dan isteri iaitu rumah ladang yang besar, perabot antik sehingga gambar-gambar kenangan tiga anak kesayangan saya musnah dalam sekelip mata.
"Apa yang tinggal hanyalah dua buah kerusi besar, sebuah katil dan meja, selain nyawa tiga anak yang tercinta."
Begitulah keluhan pasangan suami isteri, Sue dan Michael Aldred, yang kehilangan hampir semua harta benda dalam kebakaran hutan di selatan Victoria, Australia sejak Sabtu lalu.
Bencana itu juga memusnahkan lebih 750 buah rumah dan merupakan yang terburuk dalam sejarah Australia.
"Kami bernasib baik kerana apa yang musnah hanyalah harta benda dan bukan nyawa ahli keluarga. Ada jiran dan sahabat handai kami kehilangan seluruh ahli keluarga. Ini sungguh menyedihkan," kata Aldred.
Menurutnya, api menjulang setinggi bangunan empat tingkat pada satu peringkat dan angin kencang meniupkan bara api sejauh 40 kilometer sehingga mencetuskan kebakaran lain.
Aldred yang kini berlindung buat seketika di sebuah bangsal kecil berhampiran rumahnya di St Andrews, Victoria juga berkata, semua jiran-jirannya sudah tiada dan rumah mereka musnah sama sekali.
"Kesemua jiran-jiran saya menemui maut di rumah dan halaman mereka sendiri. Ada yang mati ketika cuba menyelamatkan diri dengan kereta daripada api yang merebak sepantas kilat.
"Segelintir pula terkorban apabila atap rumah mereka runtuh sehingga menutup jalan keluar untuk menyelamatkan nyawa," jelas Aldred sambil mengenang nasib baik keluarganya.
Paling dahsyat
Selain Aldred dan keluarganya, kebakaran hutan dan belukar paling dahsyat di Australia dalam tempoh lebih seabad itu sehingga kini telah melayangkan nyawa melebihi 200 orang.
Namun akhbar-akhbar di Australia melaporkan jumlah kematian dijangka meningkat kepada 230 orang.
Pihak berkuasa Australia percaya sebanyak 20 peratus daripada kebakaran tersebut adalah disengajakan dan dianggap sebagai kejadian 'pembunuhan beramai-ramai'.
Berikutan itu, pihak terlibat melancarkan Operasi Phoenix yang kini menggerakkan satu penyiasatan terbesar bagi memburu mereka yang menyebabkan kebakaran dahsyat di selatan negara tersebut.
Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa punca utama berlakunya bencana itu adalah keadaan cuaca di bandar Victoria dan kawasan sekitarnya yang mana suhu mencecah 46 darjah Celsius iaitu tahap berbahaya untuk mencetuskan kebakaran.
Adakah itu 'petanda buruk' yang menunjukkan bahawa planet Bumi yang menjadi rumah kepada segala spesies hidupan di dunia kini berhadapan dengan kemarau paling buruk.
Jurucakap Jabatan Alam Sekitar Victoria, Ron Patterson berkata, kawasan timur Australia dilanda cuaca 'melampau' sejak minggu lalu dan kawasan selatan pula menghadapi panas terik.
Gelombang haba tertinggi
"Cuaca ekstrem itu dipercayai menyebabkan kebakaran hutan paling buruk dalam tempoh 25 tahun iaitu selepas berlakunya peristiwa kebakaran di Ash Wednesday pada tahun 1983 yang meragut 75 nyawa serta memusnahkan sebahagian besar kawasan tenggara Australia.
"Gelombang haba dengan suhu tertinggi dalam tempoh hampir satu abad turut bertambah teruk sehingga suhu melebihi 40 darjah Celsius dengan angin kering bertiup di empat negeri," jelasnya.
Sementara itu, sebelum berlaku bencana ngeri itu baru-baru ini, Menteri Kesihatan, John Hill memberitahu, cuaca panas yang melanda negara itu dipercayai menjadi punca kebakaran hutan yang memusnahkan lapan buah rumah dan beratus-ratus ribu penduduk terputus bekalan elektrik di selatan Australia pada awal bulan ini.
"Penggunaan penyaman udara yang tinggi menyebabkan kira-kira 500,000 buah rumah dan premis perniagaan di bandar itu terjejas manakala kuasa elektrik ke stesen rangkaian kereta api tidak dapat disalurkan," ujarnya.
Katanya, keadaan itu juga menyebabkan beberapa kematian mengejut penduduk di dua bandar raya utama turut dilaporkan.
"Ini menyebabkan perkhidmatan ambulans di bandar Melbourne dan Victoria meningkat ekoran kejadian cuaca panas tersebut," katanya.
Tanaman musnah
Dalam satu perkembangan lain, cuaca panas yang menjadi faktor berlakunya kebakaran hutan di Australia baru-baru ini turut berlaku di negara China. Namun di negara China, bukan kebakaran hutan yang berlaku, sebaliknya hampir semua jenis tanaman musnah akibat kemarau.
Menurut akhbar People's Daily dan media negara itu, Pejabat Banjir Negara dan Bantuan Kemarau menyifatkan kemarau yang melanda itu sebagai antara yang terburuk dalam sejarah China.
Bencana terburuk itu mengakibatkan China mengisytiharkan darurat kemarau tahap dua dan besar kemungkinan, ia boleh merosakkan tanaman dan menjejaskan pendapatan petani di negara berkenaan.
Akhbar itu melaporkan, ketiadaan hujan dan salji sejak November lalu telah menjejaskan kira-kira 9.5 juta hektar kawasan pertanian atau 43 peratus daripada bekalan gandum musim sejuk.
Sementara itu, seorang penganalisis, Ma Wenfeng memberitahu China Daily, kemarau yang melanda itu mampu mengurangkan pengeluaran tahunan gandum antara dua hingga lima peratus.
Ujarnya, wilayah Henan dan Anhui yang terjejas teruk bakal menyaksikan penurunan ketara dalam penghasilan gandum iaitu kira-kira 20 peratus.
"Kemarau itu adalah ancaman terbaru, selain kemelesetan ekonomi. Ini kerana kemarau telah menjejaskan bahagian utara China sehingga menyebabkan harga gandum di Zhengzhou meningkat lima peratus," katanya.
Petani terjejas
Wenfeng berkata, kemarau itu juga menjejaskan pendapatan petani di beberapa kawasan padat penduduk di Henan dan Anhui, apabila ramai penduduk hilang pekerjaan sejak pertumbuhan ekonomi China merosot pada tahun lalu.
Kedua-dua wilayah Henan dan Anhui yang terjejas teruk akibat kemarau didiami berjuta-juta pekerja yang datang dari kampung untuk mencari rezeki.
Dalam pada itu, Perdana Menteri China, Wen Jiabao berkata, kemarau yang melanda kawasan tanaman padi di wilayah tengah dan barat, selain wilayah utara turut menjejaskan bekalan makanan ketika penduduk sudah pun mengalami keperitan hidup disebabkan krisis ekonomi.
"Kemarau masih berlarutan dan ahli kaji cuaca meramalkan tidak ada hujan lebat dalam tempoh terdekat ini," kata Jiabao.
Beliau menekankan betapa sukarnya memerangi kemarau dan pada masa yang sama, berusaha untuk mendapatkan hasil tanaman yang banyak.
Ekoran itu, China melancarkan beribu-ribu roket dan peluru meriam ke udara untuk tujuan pembenihan awan, selain bersiap sedia untuk menyalurkan air dari dua sungai terpanjang di negara itu bagi mengatasi kemarau terburuk dalam tempoh puluhan tahun.
Pegawai kaji cuaca turut melancarkan 2,392 peluru meriam dan 409 roket yang mengandungi bahan kimia pembenihan awan ke udara dalam operasi di seluruh utara China.
Operasi pembenihan awan itu berjaya menghasilkan hujan sebanyak lima milimeter di wilayah Hebei, utara negara itu.
Sebagai langkah untuk membantu berjuta-juta penduduk termasuk petani yang dilanda kemarau terburuk itu, kerajaan China akan menyalurkan air dari dua sungai terpanjang di negara itu ke kawasan tanaman petani.
Air dari Sungai Yangtze yang merupakan sungai terpanjang di China akan disalurkan ke kawasan utama di wilayah Jiangsu, timur negara tersebut.
Pengumuman itu dibuat selepas Beijing untuk kali pertama menaikkan tahap darurat kemarau ke tahap tertinggi dan menghantar bantuan serta pakar teknikal ke lapan kawasan utama yang dilanda bencana tersebut.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm
No comments:
Post a Comment