Pistol di kepala
Oleh Shahrul Nizam Mohamadam@hmetro.com.my
BENTONG: Seorang peraih getah beku hanya teringat mati apabila kepalanya diacu pistol dua penyamun yang menahan lori dipandunya ketika dalam perjalanan menghantar muatan getah beku ke pusat bandar dalam kejadian samun di Kampung Gantung Labu-Bukit Gajah, Mancis di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa berusia 42 tahun bertolak dari sebuah ladang getah di kampung berkenaan untuk menghantar getah beku ke pusat jualan apabila lorinya dihampiri dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Rosli Abdul Rahman, berkata penyamun terbabit kemudian menghimpit lori itu di bahagian pemandu dan mengarahkan mangsa menghentikan kenderaannya.
Menurutnya, mangsa yang sudah tahu niat buruk penyamun terbabit enggan menuruti arahan untuk berhenti dan tetap meneruskan perjalanannya menyebabkan mereka naik berang.
“Disebabkan mangsa enggan menghentikan kenderaannya, penyamun terbabit melepaskan dua tembakan ke arah mangsa dan satu daripada tembakan itu terkena pintu di bahagian pemandu.
“Melihat perbuatan penyamun terbabit semakin ganas dan bimbang tembakan itu terkena tubuhnya terpaksa memberhentikan lori dipandunya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Rosli berkata, penyamun terbabit kemudian mengheret mangsa keluar dari lorinya dan mereka mengacu pistol masing-masing di kepala mangsa sambil mengarahkan mangsa tidak melawan jika tidak mahu dicederakan.
“Mangsa dipaksa keluar dari lorinya dan kepalanya diacu pistol.
“Dua penyamun terbabit menyentap beg pinggang mangsa mengandungi dokumen penting dan merampas wang tunai mengakibatkan mangsa kerugian kira-kira RM1,600,” katanya.
Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Mancis sebelum kes itu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.
Menurut Rosli, polis percaya dua suspek terbabit sudah lama memerhatikan aktiviti mangsa yang meraih getah beku dari ladang itu dan laluan yang akan digunakan menuju pusat bandar, selain mahir dengan laluan lain di kawasan berkenaan.
Katanya, polis turut menemui kesan tembakan di pintu kanan lori dipandu mangsa.
Rosli berkata, dua penyamun terbabit hanya mengambil masa lima minit untuk merompak mangsa sebelum melarikan diri menggunakan motosikal jenis Yamaha LC135 tanpa nombor pendaftaran.
“Mangsa mendakwa pertuturan dua suspek terbabit seakan-akan loghat Indonesia tetapi polis masih meneruskan siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, polis sudah melancarkan operasi khas menubuhkan satu pasukan dalam usaha memburu suspek selain memerlukan maklumat orang ramai untuk tampil membantu siasatan.
Menurutnya, selain itu, polis akan membuat fotofit dua suspek terbabit berdasarkan pengecaman mangsa dan siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata api.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090213085316/Article/index_html
No comments:
Post a Comment