Saturday, October 16, 2010

4 ejen wang kutu dihadap ke mahkamah

2010/10/16

KUALA LUMPUR: Empat ejen sebuah syarikat pelaburan wang kutu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menganjurkan pelaburan wang kutu yang dilarang mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971, dua tahun lalu.

Keempat-empat mereka selaku orang kena saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad. Rosnani Rahim, 32, yang juga pemilik Syarikat Kristal Karisma Enterprise didakwa menganjurkan wang kutu ‘Program Ekspres’ di premisnya yang beralamat di No 5-3, Jalan 15/48A, The Boulevard Shop Office, Off Jalan Sentul, di sini, antara 19 November 2008 dan 29 April 2010. Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 3 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Tiga individu lain yang turut didakwa ialah Salina Ahmad, 45, Ma’mor Kamaruddin, 45, dan Rimahyon Sanuri, 39, dan mereka didakwa mengikut Seksyen 3 akta sama yang dibaca bersama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka yang juga pemilik Syarikat Al Falah Global Resources didakwa bersubahat dengan pemilik Syarikat World Heritage Recources, Rahimah Rahim, 39, dan Sabbri Yusof, 49, untuk menganjurkan wang kutu iaitu ‘Program Ekspres’. Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di No 3, Jalan Keluli AM7/AM, Pusat Perniagaan Bukit Raja, Seksyen 7 dekat sini, antara 4 November 2009 hingga 29 April 2010. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Steve Chin Yun Cheong manakala keempat-empat OKS diwakili peguam Mohd Yunos Shariff. Mahkamah kemudian menetapkan 11 November ini untuk sebutan semula kes.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/4ejenwangkutudihadapkemahkamah/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...