Saturday, October 16, 2010

Bebas tuduhan rasuah

Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my
2010/10/16

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah saya bersyukur dengan keputusan mahkamah. Terima Kasih kepada semua pihak yang tidak jemu memberikan sokongan kepada saya sepanjang perbicaraan berjalan,” kata bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don.

Beliau berkata demikian selepas Mahkamah Sesyen di sini, semalam melepas dan membebaskannya daripada tuduhan menerima wang berjumlah RM60,000 sebagai upah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh, dua tahun lalu. Keputusan itu dibuat Hakim Rosbiahanim Arifin selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.


Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Ahmad Kamal Arifin Ismal dan Nik Azrin Zairin Nik Abdullah.


Sebelum ini, Wahid, 57, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM60,000 daripada Datuk Seri Low Chang Hian pada 10 Julai 2008 sebagai upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.


Wahid yang diwakili peguam bela Datuk V Sithambaran didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Off Jalan Duta di sini, jam 10.15 malam, pada 10 Julai 2008.


Dalam prosiding perbicaraan yang bermula 17 Ogos 2009, seramai 40 saksi pendakwaan dikemukakan termasuk bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar, Low dan beberapa ejen pekerja asing.


Wahid yang berkhidmat selama 33 tahun dengan kerajaan berkata, beliau akan kembali bertugas selepas dua tahun berhadapan dengan proses perbicaraan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bebastuduhanrasuah/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...