Saturday, October 16, 2010

"Tiada Niat Hukum Norman & Memey Melalui Media" - Pengadu

Sabtu Oktober 16, 2010

KUALA LUMPUR: Pengadu dalam kes khalwat Norman Hakim dan Memey Suhaiza tidak pernah berniat mahu menghukum pasangan pelakon itu dengan menggunakan pihak media.

Mohd Yusri Abd Razak, 55, berkata, dia hanya mahu menyindir pasangan itu yang didakwa masih tinggal bersama walaupun baru dicekup oleh penguatkuasa agama.

"Sebenarnya saya menggunakan media kerana tugas wartawan adalah mulia, oleh demikian saya gunakan untuk menyindir," katanya.

Perunding kreatif itu berkata demikian semasa memberi keterangan selaku saksi pendakwaan keenam di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini pada Jumaat.

Saksi yang juga merupakan jiran Norman turut membawa beberapa keratan akhbar yang menyiarkan kenyataan Norman dan Memey menafikan tuduhan khalwat terhadap mereka.

Katanya, keratan itu adalah untuk membuktikan penipuan dan pembohongan yang didakwa saksi telah dilakukan oleh pasangan tersebut.

Perbuatan saksi itu dibantah oleh peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Norman dan Memey.

"Saksi tidak boleh mengambil keratan akhbar untuk dijadikan fakta. Saksi seharusnya hanya boleh mengatakan dia pernah membaca keratan itu," katanya dan menambah tindakan tersebut adalah menyalahi prosiding mahkamah.

Mohd Yusri kelihatan agak bengang dengan bantahan tersebut menegaskan tindakannya adalah dengan niat mulia bagi membuktikan pembohongan oleh pasangan yang telah mengikat tali pertunangan pada September lalu.

Bagaimanapun, Hakim Syarie Salehan Yatim menerima bantahan tersebut.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey atau Suhaiza Suhaimi, 22, didakwa berkhalwat di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, dekat sini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 1.45 pagi dan 3 pagi, 30 Oktober 2008.

Pendakwaan terhadap Norman dibuat mengikut Seksyen 29(1)(a)Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey dituduh mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama.

Mereka kini berhadapan dengan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Muhammad Nazri Basrawi.

Perbicaraan akan bersambung pada 22 Oktober ini.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/10/16/mstar_hiburan/20101015174547&sec=mstar_hiburan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...