PERUNTUKAN RM85 juta yang diumumkan dalam Pembentangan Bajet 2011 untuk membina kemudahan infrastruktur bagi membolehkan pembinaan hotel dan resort peranginan di kawasan pedalaman yang berpotensi menarik pelancong dijangka mampu merancakkan industri terutama eko-pelancongan.
Presiden Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (Maho), Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata langkah kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak pembinaan hotel dan resort di kawasan berpotensi diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong asing untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
“Malaysia berbeza dengan negara lain kerana kita masih mempunyai kira-kira 60 peratus hutan semula jadi dan ini menjadi tarikan pelancong terutama mereka yang datang dari negara maju,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan pelancong yang datang ke Malaysia lebih gemar memilih kawasan hutan, berhampiran sungai atau laut, lokasi berbukit-bukau serta hampir dengan alam semula jadi sebagai cara melarikan diri daripada kesibukan kota yang dipenuhi hutan batu.
“Malah, kita bukan saja memiliki alam semula jadi sebagai produk pelancongan tetapi turut memilik pusat membeli-belah bertaraf antarabangsa,” katanya.
Abdul Aziz berkata, walaupun peruntukan RM85 juta itu masih kecil, namun ia dianggap sebagai permulaan yang baik dalam memacu industri eko-pelancongan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2011, berkata perolehan industri pelancongan pada 2009 ialah RM53 bilion dan ia berpotensi menyediakan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan, sekali gus meningkatkan pendapatan negara. Mengenai eko-pelancongan ini Abdul Aziz berkata, kerajaan perlu menjalankan program pemeliharaan berterusan kerana ia adalah harta berharga yang perlu dilindungi.
“Kita bimbang sekiranya kian maju, tetapi tiada pemeliharaan dilakukan maka, negara kita berkemungkinan sama seperti negara lain dan hilang keunikan bumi Malaysia,” katanya.
Menurutnya, antara lokasi yang dicadangkan sesuai untuk dibangunkan sebagai destinasi eko-pelancongan adalah Pahang, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak.
No comments:
Post a Comment