Saturday, October 16, 2010

Keputusan tanda keprihatinan kerajaan

2010/10/16

KEPUTUSAN kerajaan tidak menaikkan kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Berhad bagi tempoh lima tahun akan datang disifatkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

Pengarah Komunikasi Persatuan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusuf Abdul Rahman, berkata pengumuman itu memberikan kelegaan kepada pengguna sebelum syarat konsesi disemak semula.

“Ini bermakna dalam tempoh lima tahun ini tidak ada kenaikan tol yang boleh ‘mengejutkan’ rakyat,” katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, berkata langkah tidak menaikkan kadar tol perlu dipuji, dan berharap langkah turut diambil bagi meningkatkan keselamatan jalan raya untuk mengurangkan kemalangan maut.

“Kerajaan juga perlu meningkatkan sistem penyuraian trafik supaya pengguna dapat menggunakan lebuh raya dengan selesa sesuai dengan bayaran tol dikenakan,” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata walaupun tiada kenaikan tol selama lima tahun, namun ia tidak akan menjadi bebanan kepada syarikat konsesi.

Katanya, walaupun ekonomi masih lagi memaksa kerajaan berbelanja berhemat, tetapi Bajet 2011 masih mampu memberi pelbagai kemudahan kepada rakyat. “Kerajaan akan mencari model kewangan sesuai, kalau tidak kerajaan tidak akan buat macam ini, “katanya.

Awang Adek berkata, keputusan untuk tidak menaikkan tol juga bukan satu bebanan kepada kerajaan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...