Saturday, October 16, 2010

Bajet 2011: 3 juta pekerja dapat manfaat

2010/10/16

PETALING JAYA: Lebih tiga juta pekerja sektor swasta akan mendapat manfaat daripada langkah kerajaan menubuhkan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan yang dipertanggungjawabkan menentukan kadar dan mekanisme penetapan gaji minimum, kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Malaysia (MTUC) G Rajasegaran.

Beliau berkata, tuntutan MTUC berhubung penetapan gaji minimum sudah berlarutan sejak 60 tahun lalu, dan kini ia akan direalisasikan.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa membentang Bajet 2011 di Parlimen berkata, penubuhan majlis itu menjadi platform utama dalam penetapan upah golongan pekerja.


Rajasegaran berkata, perkara itu sudah lama dinantikan dan ia pasti dapat membantu golongan pekerja, terutama di kalangan pekerja miskin.


Menurutnya soal selidik kerajaan baru-baru ini mendapati kira-kira 34 peratus pekerja kini berpendapatan RM700 sebulan, iaitu di bawah paras RM720 yang ditetapkan sebagai garis kemiskinan.


Merujuk kepada kebenaran buat KWSP membuat pelaburan sehingga 20 peratus di luar negara, Rajasegaran berkata, pertubuhan itu perlu ‘berhati-hati’ kerana pasaran luar negara amat tidak menentu.


Katanya, MTUC juga tidak bersetuju sekiranya syarikat-syarikat insurans mengurus dana pencen kerana pengalaman sebelum ini menunjukkan syarikat terbabit amat mementingkan keuntungan dan tidak memberikan perhatian yang sepatutnya kepada keperluan pekerja.- Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/3jutapekerjadapatmanfaat/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...