Saturday, October 16, 2010

Polis Malaysia Soal Siasat Usharani Di Chennai

Jumaat Oktober 15, 2010

CHENNAI: Pasukan dua anggota polis dari Malaysia telah menyoal siasat S.Usharani dan seorang pembiaya filem berhubung kes pembunuhan ahli perniagaan warga India A. Muthuraja, yang dilaporkan hilang sejurus selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 18 Januari lepas.

Usharani, 24, isteri kedua hartawan itu, telah disoal siasat selama beberapa jam oleh pegawai polis berpangkat tinggi dari Bukit Aman, Khamis lalu di Chennai selain meneliti beberapa barangan penting yang berada dalam pemilikannya.

"Mereka merekodkan kenyataan Usharani dalam tempoh tiga hingga empat jam. Mereka juga akan menyoal siasat seorang pengarah filem berhubung satu komplot penipuan tanah di Malaysia, serta seorang lagi warga India yang terlibat dalam komplot membabitkan tanah di Melaka.

"Pihak polis datang ke sini bagi mendapatkan lebih banyak maklumat berhubungempat jenayah komersial yang berbeza, kebanyakannya membabitkan penipuan tanah,"kata Konsul Jeneral Malaysia Anuar Kasman.

Di Chennai, Usharani telah memberitahu media tempatan bahawa beliau telah menyerahkan dokumen berkaitan penjualan tanah berkenaan serta komputer riba suaminya kepada pegawai polis Malaysia.

"Soal siasat itu berjalan selama lima jam. Mereka telah memeriksa sistem dan dokumen berkenaan sebelum memulangkannya.

"Saya berharap ia akan membantu membuktikan bahawa mereka (peguam dua beradik) memang bersalah," beliau dipetik sebagai berkata oleh Deccan Chronicle.

Mangsa yang merupakan penduduk Ramapuram di Chennai, dipercayai telah berjumpa kedua-dua suspek di Malaysia sebelum dilaporkan hilang.

Kematian Muthuraja, ahli perniagaan dari Selatan India, terbongkar selepas pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu laindi Banting, Ogos lepas.

Peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerjanya didakwa di sebuah mahkamah di Banting Rabu lepas, bagi pembunuhan berganda itu.

Sosilawati, 47, pemandu peribadi Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru di Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dipercayai dibunuh selepas satu urus niaga bernilai jutaan ringgit bertukar menjadi hambar.

Pembunuhan itu berlaku di sebuah ladang milik Pathmanabhan dan adiknya. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/10/15/mstar_jenayah/20101015221526&sec=mstar_jenayah

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...