Saturday, October 16, 2010

Pemimpin masyarakat dapat elaun RM800 sebulan

2010/10/16

RM100j diperuntuk naik taraf sosioekonomi Orang Asli, pribumi

KUALA LUMPUR: Elaun bulanan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKP), Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru akan dinaikkan kepada RM800 sebulan, berbanding RM450 sekarang bagi menghargai peranan mereka sebagai pemimpin masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bagi memastikan elaun itu dinikmati semua Ketua Kampung, ia turut diberi kepada Pengerusi Jawatankuasa Kampung Baru Rangkaian dan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Bagan.

Kerajaan juga akan menaikkan elaun kehadiran mesyuarat kepada semua Ahli Jawatankuasa daripada RM30 kepada RM50, selain elaun bulanan Imam dinaikkan daripada RM450 kepada RM750 sebulan, manakala imbuhan bulanan guru Kemahiran Asas Fardu Ain (KAFA) dinaikkan kepada RM800 sebulan berbanding RM500 sekarang, mulai Januari tahun depan.

Selain itu, RM100 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli dan pribumi.

Najib berkata, ia termasuk menyelesaikan isu pegangan hak milik tanah dan persempadanan penempatan Orang Asli serta membangunkan Model Baru Pembangunan Orang Asli menerusi penyusunan semula Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dengan memberi nafas baru sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Apdal, berkata semua pengerusi jawatankuasa berkenaan membabitkan kira-kira 15,000 kampung.
“Peruntukan dan perhatian yang diberikan kerajaan kepada Bumiputera dan Melayu, membuktikan tanggapan bahawa golongan berkenaan membabitkan antara 70 hingga 80 peratus di negara ini terpinggir, tidak benar.

“Lebih jelas lagi apabila RM100 juta disediakan khusus untuk melaksanakan program menyelesaikan isu pegangan hak milik tanah Orang Asli serta membangunkan Model Baru Pembangunan Orang Asli,” katanya.

Selain itu, Shafie berkata, penyusunan semula JHEOA sesuatu yang perlu untuk memberi tumpuan terhadap kebajikan dan masa depan kumpulan sasaran.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...