Saturday, October 16, 2010

Bekas YDP lepas dakwaan cuba terima suapan

2010/10/16

MELAKA: Hanya senyuman tergambar pada wajah bekas Yang Dipertua Majlis Daerah Jasin (MDJ), Mustadza Abu Bakar, 56, sejurus Mahkamah Sesyen, di sini, semalam membebas dan melepaskannya daripada pertuduhan cuba menerima suapan RM10,000 daripada seorang kontraktor pada November 2003.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan semalam selepas meneliti hujah Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nafhatun Mohd Pozi dan peguam bela tertuduh, Nahdan Rengganathan Abdullah.


Beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, justeru mahkamah tiada pilihan melainkan melepas dan membebaskan tertuduh tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan itu.


Mengikut kertas pertuduhan, Mustadza, seorang ahli perniagaan dan bekas Bendahari Umno Bahagian Jasin pada tarikh berkenaan dituduh secara rasuah cuba mendapatkan suapan daripada Zakariah Abu Bakar di pejabat MDJ pada November 2003.


Dia didakwa meminta suapan itu sebagai dorongan bagi melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya, iaitu bagi menghapuskan denda lewat atas kegagalan syarikat Build Tex Construction Sdn Bhd menyiapkan projek membina medan selera di Merlimau dalam masa ditetapkan.


Mustadza dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, Sepanjang perbicaraan kes itu, pihak pendakwaan memanggil 10 saksi memberi keterangan sebelum menutup kes mereka.


Sementara itu, pada prosiding semalam Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Sa’ad Shukor menyebut bagi pihak Nafhatun.


Peguam, Rengganathan ketika ditemui di luar mahkamah berkata, anak guamnya bersyukur dengan pembebasannya, namun enggan mengulas lanjut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BekasYDPlepasdakwaancubaterimasuapan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...