Saturday, October 16, 2010

Bajet 2011: Kumpul wang beli rumah

2010/10/16

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menawarkan pelbagai bentuk bantuan membabitkan kediaman dalam Bajet 2011 secara tidak langsung bakal mengangkat status ekonomi rakyat terutama golongan muda, berpendapatan sederhana dan rendah.

Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Idris Haron berkata, bantuan berkenaan juga memudahkan golongan terbabit mengumpul harta.


“Contohnya golongan muda yang sebelum ini lebih berminat memiliki kereta berbanding rumah berikutan tidak mempunyai wang mencukupi, tetapi apabila kerajaan membenarkan pinjaman 100 peratus menerusi Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas, ada kemungkinan minat mereka berubah membeli rumah dulu sebelum kereta.


“Secara umumnya, ganjaran yang ditawarkan dalam bajet kali ini boleh disifatkan usaha positif bagi memastikan pelbagai lapisan masyarakat dapat membeli rumah,” katanya di lobi Parlimen, semalam.


Dalam Bajet 2011 yang dibentangkan semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM568 juta ringgit yang bakal disediakan bagi membina 300 unit kediaman di bawah Projek Bantuan Perumahan Bandar, 79 ribu unit di bawah Program Perumahan Rakyat dan 8 ribu unit di bawah Projek Bantuan Sewa Rumah. Beliau juga mengumumkan mengenai Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas yang akan menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi harga rumah di bawah 220 ribu ringgit untuk pembeli rumah pertama berpendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan sekali gus membolehkan pembeli rumah mendapat pinjaman 100 peratus.


Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah Bumiputera Selangor (PPHBS), Mohammad Sahar Mat Din menyambut baik saranan berkenaan, namun mencadangkan supaya ia dibuka juga untuk mereka berpendapatan kurang RM4,000.


“Walaupun kerajaan menetapkan harga siling rumah sehingga RM220,000, jumlah itu masih tinggi bagi mereka berpendapatan kurang RM3,000. Bagi pandangan kami, lebih baik sekiranya kelonggaran ini dibuka juga untuk mereka berpendapatan kurang RM4,000.


“Dengan tiada pembayaran wang pendahuluan, ia memudahkan bakal pembeli membuat lebih banyak pilihan, namun mereka dijangka perlu membayar ansuran bulanan agak tinggi,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bajet2011_Kumpulwangbelirumah/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...