Saturday, October 16, 2010

Bajet 2011: Terokai cabaran baru

Oleh Norhadiani Baharom dan Elrafaei Sapi
am@hmetro.com.my
2010/10/16

KUALA LUMPUR: Karyawan seni tempatan menyambut baik peruntukan RM200 juta sebagaimana diumumkan dalam Pembentangan Belanjawan 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bagi memastikan Industri Kreatif terus berkembang maju.

Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah, berkata, peruntukan itu membuktikan kerajaan menyedari betapa pentingnya hasil kreatif sebagai makanan minda.


“Oleh kerana itu tiba masa kepada semua penggiat industri berusaha menghasilkan produk berkualiti. Kita jangan lagi membangkitkan isu pembahagian dana siapa yang memperoleh lebih banyak dan siapa yang kurang.


“Tumpuan utama menghasilkan produk kreatif dan berkualiti bukan saja untuk tontonan masyarakat tempatan tetapi juga di mata dunia melalui pelbagai platform seperti pawagam, TV dan internet,” katanya.


Beliau berkata, untuk memastikan dana tahunan mencukupi, pihak yang diamanahkan menguruskan dana itu harus merencana kewangan dan membuat pengagihan sebaik mungkin.


“Berhubung peruntukan dana 2010 ketika ini, pihak yang dipertanggungjawab harus memaklumkan perbelanjaan yang sudah digunakan dan pihak mana yang belum pernah berpeluang menggunakan kemudahan yang diberikan dengan mengeluarkan senarai perbelanjaan secara terperinci.


“Ini kerana, kami sebagai penggiat seni ingin tahu berapa banyak jumlah yang sudah diguna supaya pada 2011 ia boleh diuruskan dengan lebih baik lagi,” katanya. Bajet 2011 kali ini bertemakan ‘Transformasi Ke Arah Negara Berpendapatan Tinggi’. Penyediaan Dana Industri Kreatif yang disediakan berjumlah RM200 juta bagi membiayai aktiviti seperti pengeluaran filem dan drama, muzik, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan tempatan.


Jumlah yang ditetapkan sama seperti dikemukakan pada Pembentangan Belanjawan 2010. Berdasarkan analisis belanjawan 2010, jumlah RM200 juta itu didapati cukup untuk menampung perbelanjaan Industri Kreatif.


Kerajaan juga mencadangkan cukai perkhidmatan dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran berbayar.


Pengarah filem tersohor, Erma Fatima, bagaimanapun merasakan jumlah itu masih belum mencukupi.


“Kita berterima kasih kepada kerajaan namun saya melihat contoh permasalahan yang dilalui pada tahun ini di mana RTM terpaksa mengurangkan pembelian drama dari produksi swasta seperti kami kerana dana yang diperuntukkan tidak mencukupi. “Pihak produksi pula mencari nafkah dengan menjual produk mereka kepada stesen TV. Tanpa dana yang mencukupi bererti usaha pihak produksi untuk menghasilkan produk secara produktif akan tergendala.

“Senarai filem yang ditayangkan tahun depan juga tidak banyak yang mampu mewakili Malaysia untuk festival luar negara. Bukankah ini situasi menyedihkan tambahan pula Malaysia antara negara yang berdaya saing.


“Tetapi dalam industri perfileman masih ketinggalan. Saya cadangkan supaya pihak yang dipertanggungjawab menguruskan dana ini mengasingkan beberapa juta untuk menghasilkan filem cereka yang hebat dan boleh dibawa ke peringkat antarabangsa.


“Untuk filem biasa RM1.8 juta dan RM2 juta sudah mencukupi. Bagaimanapun untuk filem yang lebih canggih sudah tentu jumlahnya lebih besar. Saya berharap peruntukan dana digunakan sebaik mungkin supaya industri kreatif boleh berkembang dengan baik.


Pengarah Urusan dan Pengerusi Enfiniti Vision Media, Datin Seri Tiara Jacquelina pula berkata, kerajaan mahupun penggiat seni harus bekerjasama dalam memanfaatkan peruntukan ini agar digunakan sebaik mungkin.

“Saya seperti mana penggiat seni lain tentunya mengharapkan jumlah peruntukan ini bertambah. Walaupun jumlah masih sama, kita seharusnya mengkaji semula bagaimana peruntukan tahun lalu dibelanjakan.


“Untuk itu, penggiat seni perlu menggunakan peruntukan kali ini dengan lebih strategik dan memberi manfaat sepenuhnya.


“Seperti saya katakan menerusi program Soal Jawab (TV3) Rabu lalu, saya mencadangkan kita memberi fokus lebih besar dan menghasilkan karya yang mampu menarik perhatian masyarakat antarabangsa,” katanya.


Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim, berkata, peruntukkan bajet yang diberikan menunjukkan keprihatinan kerajaan dan Perdana Menteri (PM) dalam memajukan industri seni hiburan tanah air.


“Saya mewakili rakan artis lain mengucapkan berbanyak berbanyak terima kasih kepada PM yang mengumumkan berita baik pada semua penggiat seni.


“Apa yang diharapkan ia mewujudkan modal insan cemerlang di kalangan penggiat seni. Mereka bukan saja mempunyai sikap berdaya maju, malah berani menerokai cabaran baru,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terokaicabaranbaru/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...