Saturday, October 16, 2010

RM218 juta bantu sara hidup OKU

2010/10/16

PROGRAM bantuan kepada orang kurang upaya (OKU) membabitkan peruntukan sebanyak RM218 juta yang diumumkan dalam Bajet 2011 disambut baik golongan berkenaan yang kini semakin dihimpit beban kewangan akibat pembangunan dan kemajuan negara.

Setiausaha Agung Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Abu Hasan Ashari Razak berharap pengumuman itu turut membabitkan kenaikan elaun untuk OKU kerana ia tidak sebut dengan jelas ketika pembentangan bajet, semalam.

“Peruntukan itu tidak menyebut dengan jelas bagaimana bantuannya, tetapi saya berharap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dapat menaikkan elaun OKU ke tahap lebih munasabah berikutan kos sara hidup kini semakin tinggi. Seingat saya, sudah dua tahun ia tidak dinaikkan.

“Elaun cuma diperoleh OKU yang berpendapatan RM1,200 ke bawah tetapi jika boleh biarlah OKU yang berpendapatan lebih juga diberi peluang mendapat elaun,” katanya turut mencadangkan kementerian menaikkan kadar pendapatan minimum OKU untuk layak mendapat elaun bulanan itu daripada RM1,200 kepada RM1,500.

Beliau yang turut memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian pinjaman pada kadar tertentu kepada OKU sebagai modal untuk memulakan perniagaan, berkata kenaikan had pendapatan itu perlu berikutan kenaikan harga barangan hingga ada OKU terpaksa mengeluarkan belanja lebih menaiki teksi ke tempat kerja.

“Saya juga berharap kerajaan menaikkan geran tahunan yang diterima badan bukan kerajaan (NGO) OKU yang berdaftar daripada RM6,000 untuk urusan pentadbiran, mungkin sehingga RM10,000 untuk menguruskan kos operasi. Kami turut berharap permohonan geran dipermudahkan selain permohonan mendapatkan elaun diselaraskan,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...