Saturday, October 16, 2010

Bajet 2011: Harapan cerah jadi negara berpendapatan tinggi

2010/10/16

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2011, belanjawan istimewa kerana berdasarkan kehendak rakyat dan diyakini mampu memberi faedah maksimum kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Bercakap kepada pemberita selepas selesainya pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat, semalam, Muhyiddin berkata, bajet tahun ini memberi harapan cerah ke arah transformasi masa depan negara menjadi negara berpendapatan tinggi. “Secara ringkas beberapa pengumuman dibuat Perdana Menteri, bukan saja membabitkan masyarakat di bandar malah di luar bandar, mencakupi sektor-sektor utama dan kita rasa yakin ini belanjawan rakyat dan faedah maksimum akan diperolehi dengan pelaksanaan yang akan dibuat secara lebih efisien oleh jabatan dan agensi kerajaan.


“Bagi saya ini satu petanda pimpinan Barisan Nasional (BN) prihatan kehendak semua masyarakat...ini sesuatu yang kita sanjung dan percaya dapat membantu meningkatkan taraf hidup rakyat dan Malaysia mampu menjadi negara maju menjelang 2020,” katanya. Muhyiddin berkata, beliau yakin banyak pihak berpuas hati dengan Bajet 2011 kerana digubal berdasarkan maklum balas yang diambil perhatian oleh Perdana Menteri sendiri dan memberi respons cukup memberangsangkan terhadap saranan dan cadangan yang dikemukakan. Katanya, strategi empat perkara, iaitu “Mendaya Kembali Pelaburan Swasta”, “Membangunkan Modal Insan”, “Mensejahterakan Hidup Rakyat”, dan “Memperkukuhkan Penyampaian Perkhidmatan Awam“ merangkumi pelbagai sektor utama yang diberi perhatian oleh perdana menteri. Saya yakin laluan negara menuju negara berpendapatan tinggi lebih jelas...ini asas kukuh yang dibangunkan kerajaan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya. Sementara itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno menafikan Bajet 2011 sebagai Bajet Pilihan Raya seperti mana dakwaan sesetengah pihak terutamanya parti pembangkang. “Pengumuman (Bajet 2011) ini bukan tujuan lain kecuali memastikan rakyat dapat hidup lebih selesa...bukan sebab pilihan raya,” katanya.


Mengulas bajet untuk pendidikan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata suntikan peruntukan lebih besar RM29.3 bilion berbanding RM25.5 bilion, kenaikan 14.9 peratus berbanding tahun lepas, menunjukkan komitmen kerajaan meningkatkan pembangunan modal insan.


Sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri yang memberi peruntukan lebih besar untuk Kementerian Pelajaran tahun ini, Muhyiddin berkata beliau gembira apabila peruntukan istimewa untuk pembangunan sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina, sekolah mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan bernilai RM250 juta turut ditambah lebih 500 peratus berbanding RM39.2 juta tahun lepas.


“Ini jelas menunjukkan Perdana Menteri menekankan soal pembangunan modal insan dan KPM (Kementerian Pelajaran), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Sumber Manusia bertanggungjawab untuk melengkapkan pembangunan modal insan ini dengan peruntukan yang diberi,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bajet2011_Harapancerahjadinegaraberpendapatantinggi/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...