Saturday, October 16, 2010

Bajet 2011: Pengubat hati penjawat awam

2010/10/16

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berterima kasih atas pemberian bantuan khas kewangan RM500 kepada penjawat awam, namun berharap kerajaan akan mempertimbang semula pemberian bonus kepada 1.2 juta penjawat awam tahun ini.

Presidennya, Omar Osman, berkata pemberian bonus sesuatu yang dinanti-nantikan oleh semua penjawat awam setiap kali pembentangan Bajet kerana ia dapat meringankan beban mereka.


“Kami bersyukur dan terima kasih walaupun berharap dapat capai sasaran bonus dua bulan seperti agensi swasta yang lain menikmati sehingga empat bulan bonus.


“Kalau tidak dua bulan sepatutnya dapat menikmati sekurang-kurangnya sebulan atau setengah bulan bonus atau RM1,000 hingga RM1,200,” katanya.


Cuepacs akan membuat permohonan rasmi kepada kerajaan dengan menghantar surat kepada Perdana Menteri Isnin ini bagi memohon pemberian bonus dua bulan gaji kepada penjawat awam.


Beliau menyifatkan Bajet 2011 sebagai komprehensif kerana memberikan beberapa insentif lain kepada penjawat awam termasuk menaikkan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu’ain (Kafa) dan pemansuhan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).


Omar berkata, pemansuhan PTK, amat diharapkan dan ia menjadi ‘ubat hati’ kepada ketiadaan pemberian bonus kepada penjawat awam tahun ini.


Beliau turut mencadangkan dengan pemansuhan itu, kerajaan dapat menggunakan kos yang diperuntukkan untuk pengurusan peperiksaan PTK kepada pelbagai perkara lain.


“Apabila tiada peperiksaan PTK, kami harap tidak berlaku banyak birokrasi dalam urusan kenaikan pangkat. Kenaikan pangkat dapat dinilai berdasarkan penilaian prestasi serta kecekapan, menghadiri kursus, melihat sumbangan seseorang penjawat awam dan mengikut kekananan,” katanya.


Peperiksaan PTK diperkenalkan pada November 2002 yang bertujuan menghapuskan budaya mengampu ketua jabatan dan memastikan hanya mereka yang layak menerima pengiktirafan.


Mengenai perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember ini disambung untuk tempoh setahun lagi, Omar berkata agensi yang terbabit perlu mematuhinya dan mengharapkan pegawai berkenaan diserap sebagai penjawat awam tetap.

Omar turut menyambut baik kemudahan penjawat awam memiliki rumah serta memperbaiki syarat membuat pinjaman perumahan dengan menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000 berbanding RM360,000 pada masa ini, berkuatkuasa 1 Januari 2011. “Ini (rumah) dikira baik, cuma perlu memastikan pelaksanaan berlaku dengan betul dalam kemudahan pinjaman perumahan termasuk kepada keluarga penjawat awam dan tiada pilih kasih termasuk Skim Rumah Pertamaku dapat dinikmati oleh golongan muda yang baru bekerja,” katanya.


Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawanteh, berkata kerajaan sentiasa prihatin kepada golongan pesara yang pernah berbakti kepada negara. Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Datuk Muhammad Abdul Ghani pula berkata bantuan RM500 itu adalah pemberian istimewa terutama kepada bekas tentera. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bajet2011_Pengubathatipenjawatawam/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...