Thursday, February 12, 2009

Api hutan Australia bagaikan lahar


SEBUAH kawasan belukar masih terbakar di Lembah Kiewa di Pergunungan Alps, Australia semalam.


HEALESVILLE - "Saya sedar orang ramai terbunuh di sekeliling kami, saya sedar," kata Annette Smit ketika menceritakan mengenai ribut api yang memusnahkan kediamannya di Australia dan hampir meragut nyawanya.

Beliau menyatakan demikian ketika angka kematian akibat kebakaran hutan di negeri Victoria, selatan Australia meningkat kepada 181 orang.

"Ketika itu berlaku hujan api, ia bagaikan lahar," kata Smit kepada sebuah akhbar tempatan mengenai kebakaran hutan terburuk di Australia yang berlaku pada hujung minggu lalu itu.

Sebahagian hutan masih lagi terbakar manakala sebahagian kawasan berjaya dipadam oleh anggota-anggota bomba.

Polis mengesyaki kebakaran itu dilakukan dengan sengaja.

"Anda tidak dapat melihat arah tujuan anda, apa yang anda dapat lihat hanyalah jalan raya," kata Smit ketika dia dan pasangannya cuba melarikan diri dengan kereta mereka tetapi kenderaan itu meletup akibat bahang panas.

Dia dan pasangannya merupakan antara mangsa terselamat di kawasan paling teruk terjejas akibat kebakaran itu di bandar Kinglake Barat, Victoria.

Dia berkata, mereka tiada pilihan melainkan mencari tempat berlindung bersama-sama jiran lain ketika api semakin marak.

"Kami memecahkan sebuah tingkap dan berlindung di bawah rumah. Kira-kira 10 orang berusaha memadamkan kebakaran di rumah itu bagi memastikan kami selamat," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...