Thursday, February 12, 2009

Trashion ilham Obama

Nancy Judd tidak asing lagi dalam dunia trashion (gabungan sampah dan fesyen) dan mula menghasilkan pakaian daripada bahan-bahan terbuang sejak sedekad yang lalu.


AKTIVIS alam sekitar, Nancy Judd (kanan) bersama dua model yang menggayakan fesyen pakaian yang dihasilkannya daripada sampah kempen Obama.


PENGLIBATAN terkini Nancy Judd dalam dunia fesyen bermula selepas satu kunjungannya ke tapak pembuangan sampah.

Sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-44, Barack Obama mencatatkan kemenangan bersejarah dalam pilihan raya Presiden pada 4 November lalu, bermulalah satu era 'penerokaan' bagi pendidik dan pelukis berorientasikan alam sekitar ini.

Di tapak pembuangan sampah di belakang ibu pejabat kempen Obama di Albuquerque, New Mexico, Judd berusaha mengumpul seberapa banyak material yang masih boleh diselamatkan.

"Saya berlari macam orang gila di sekitar bandar. Pada kebanyakan masa, barangan terpakai sudah dibuang ke tapak pembuangan sampah dan saya pula menyelongkarnya.

"Saya nampak poster-poster, lukisan kanak-kanak serta pelbagai bahan menarik yang boleh diselamatkan. Langkah seterusnya memang jelas.

"Memandangkan saya menghasilkan pakaian daripada bahan-bahan terbuang, saya berhasrat mengeluarkan satu koleksi pakaian daripada bahan itu dan melancarkannya untuk dipasarkan," kata Judd sewaktu mendedahkan matlamat kempen untuk koleksi Change Couture di sebuah perhimpunan sosial, Green Inaugural Ball di Washington, AS.

Majlis tari menari itu berjaya menarik minat kira-kira 1,000 aktivis alam sekitar. Green Inaugural Ball ialah salah satu acara di Washington yang memberi penghormatan atas pelantikan Obama.

Karya yang menjadi tarikan utamanya ialah sehelai kot vintaj lelaki tahun 1950-an bernama Obamanos yang dihiasi jalur berukuran empat sentimeter panjang. Bahan untuk menghasilkan kot itu diperoleh daripada sampah kempen Obama. Judd mengambil masa kira-kira 200 jam untuk menghasilkan Obamanos itu.

"Saya menganggap seolah-olah kita ialah Obama dan kita adalah pergerakan ini. Ia satu penghormatan kepada jutaan orang yang telah bekerja untuknya," katanya.


POSTER-POSTER kempen Obama dikitar semula untuk dijadikan pakaian.


Bukan sahaja imej Obama terpampang pada pakaian rekaan Judd. Malah, pencabar Obama yang tewas, John McCain juga mendapat tempat pada kot tersebut, iaitu di bawah bahagian ketiak kanan. Walaupun pakaian itu dijahit khas untuk kesesuaian badan Obama, untuk memakainya bukan satu perkara mudah.

Dalam perhimpunan sosial itu, Judd menggayakan sehelai dres koktel Obama yang diilhamkan daripada papan-papan tanda kempen. Tanda-tanda itu dijahit dalam lapisan bertindih di atas sehelai kain kitar semula.

Seorang model pula memperagakan sehelai kot Voter Swing yang diperbuat daripada poster-poster pendaftaran para pengundi untuk negeri New Mexico. Poster-poster itu dipotong dalam bentuk jalur dan dianyam dengan sehelai fabrik kertas yang melekat pada sehelai kanvas kitar semula.

Sehelai renda kertas daripada kad-kad pendaftaran pengundi pula menghiasi kolar kot dan bucu-bucu luar.

Judd berkata, untuk menyiapkan sehelai pakaian buatan tangan, biasanya mengambil masa enam bulan. Namun, dengan bantuan kira-kira 20 pekerja di studionya, dia mampu menghasilkan tiga pasang pakaian dalam masa dua bulan.

Dia juga menjual beg-beg tote yang dihasilkan daripada petanda-petanda halaman terbuang untuk membantunya menjana pendapatan bagi membiayai kunjungannya ke Washington.

Di Washington, dia telah mempersembahkan koleksi bertemakan Obama dalam satu resepsi bagi delegasi New Mexico dan bakal menganjurkan bengkel-bengkel untuk pelajar tempatan.

Judd, 40, sebenarnya tidak asing lagi dalam dunia trashion (gabungan sampah dan fesyen). Dia mula menghasilkan pakaian daripada bahan-bahan terbuang kira-kira sedekad lalu dan berjaya menukar hobinya kepada sebuah perniagaan, Recycle Runway sejak dua tahun lalu.


GAUN yang cantik ini juga dibuat daripada sampah kempen Obama.


Antara koleksi fesyennya termasuk sehelai kot bulu tiruan yang dihiasi ribuan gulungan kaset dan pita video serta sehelai gaun yang dihiasi kira-kira 12,000 kepingan serpihan kaca. Kedua-dua karya tersebut mengambil masa kira-kira 400 jam untuk dihasilkan.

"Apabila anda memperoleh penglibatan orang ramai dalam kaedah yang menyeronokkan, menggembirakan dan kreatif, mesej yang ingin disampaikan adalah lebih kuat berbanding kaedah konvensional," jelas Judd.

Lebih membanggakan, harapan Judd turut 'dilaungkan' dalam polisi-polisi alam sekitar dan tenaga di bawah pentadbiran Obama.

Obama telah meminta agar wujud usaha pembaharuan polisi tenaga di AS pada skala yang besar.

Rancangan itu termasuklah memperuntukkan AS$159 bilion (RM556.5 bilion) dalam tempoh sedekad bagi mewujudkan lima juta pekerjaan baru berasaskan pemuliharaan alam sekitar.

Selain itu, Obama juga menyasarkan pengurangan pembebasan gas rumah hijau sebanyak 80 peratus menjelang tahun 2050. Sementara 10 peratus daripada tenaga AS yang digunakan perlu diperoleh daripada sumber-sumber yang boleh diperbaharui menjelang tahun 2012 dan 2025 iaitu sebanyak 25 peratus.

"Kali ini pasti berbeza. Ini akan menjadi keutamaan dalam pentadbiran saya dan hanya masa akan menentukannya. Kita tidak boleh mudah berpuas hati atau menerima sebarang janji-janji kosong lagi," katanya. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...