Thursday, February 12, 2009

‘Jiwa saya terganggu’

Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my

Gambar kecil, Ramesh" title="KOSONG...rumah Arumugam kosong sejak seminggu lalu.
Gambar kecil, Ramesh" height="180" width="300" border="0">
KOSONG...rumah Arumugam kosong sejak seminggu lalu. 
Gambar kecil, Ramesh

SUNGAI PETANI: “Saya tidak mahu memberi sebarang komen. Jiwa saya terganggu dan saya sudah cukup menderita. Saya harap anda faham dan tolong jangan ganggu keluarga saya.”

Demikian kata isteri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau yang juga bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), V Arumugam ketika ditemui di rumahnya di Taman Nuri, semalam.

Wanita dikenali Banumathy, 45, itu enggan gambarnya dirakam serta hanya menjawab pertanyaan wartawan menerusi pintu jeriji rumah teres setingkat itu.

Malah, Banumathy mendakwa Arumugam tidak menghubunginya selain tidak tahu di mana suaminya berada.

Arumugam, kelmarin meletakkan jawatan sebagai Adun dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri berikutan dakwaan tekanan dihadapinya termasuk diugut pihak tertentu sepanjang memegang kedua-dua jawatan itu.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Merbok, T Ramesh Kumar, yang juga kenalan rapat Arumugam, ketika ditemui, berkata Arumugam sudah berlepas ke Chennai, India, malam kelmarin dipercayai bercuti.

Ramesh berkata, kali terakhir dia berjumpa Arumugam Khamis lalu apabila dia mengikutnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini, selepas cermin kenderaan rasmi bekas Adun itu dipecahkan pihak tertentu di depan rumah sewanya di Persiaran Kelab Cinta Sayang.

Difahamkan, selepas dilantik sebagai Exco Mac tahun lalu, Arumugam menyewa rumah di Persiaran Kelab Cinta Sayang dan tidak tinggal di rumah isterinya di Taman Nuri, kira-kira lima kilometer dari situ.

Ramesh berkata, selepas itu dia tidak dapat lagi menghubungi Arumugam yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Kedah sehingga kini apabila talian telefon bimbitnya dimatikan. 

“Beliau tidak ada menghubungi saya dan saya hanya difahamkan sumber PKR Kedah mengatakan beliau ke Kuala Lumpur selepas itu dan berlepas ke Chennai, malam tadi (kelmarin).

“Saya terkejut dengan tindakannya meletak jawatan kerana Arumugam sebelum ini tidak pernah menceritakan tekanan dialaminya. Saya hanya diberitahu mengenainya malam tadi (kelmarin),”
katanya ketika ditemui di pejabatnya, di Taman Ria Jaya, semalam.

Tinjauan Harian Metro di rumah sewanya di Persiaran Kelab Cinta Sayang mendapati rumah itu berkunci dan seorang jiran memberitahu Arumugam tidak pulang ke situ sejak seminggu lalu.

“Sebelum ini, beliau memang selalu pulang ke rumah ini, tetapi saya tidak pernah melihatnya di situ sejak seminggu lalu,” katanya yang enggan dikenali.

Selain itu, tinjauan Harian Metro di pejabatnya di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di Taman Ria Jaya mendapati ditutup dan dikunci sejak seminggu lalu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090211091054/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...