Malu, semput dan letih
Bagaimanakah tabiat latah memberi kesan kepada tiga individu yang masih muda ini?
REAKSI individu yang melatah adalah pelbagai. Ada yang menari, melompat, mengeluarkan kata-kata kesat, lucah, kotor, meniru aksi orang di sekeliling atau sebagainya. Tingkah laku itu mungkin dianggap satu bentuk hiburan kepada orang lain.
Bahkan, sesebuah majlis perkahwinan atau kenduri kendara seakan-akan hilang serinya tanpa gelagat mereka yang melatah.
Semakin diusik atau disergah, semakin rancak mereka melatah.
Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, latah bermaksud seseorang (biasanya wanita) tidak sedar apa yang dilakukan, mengikut perbuatan atau suruhan orang lain tanpa disedari, mengeluarkan perkataan atau membuat sesuatu secara tidak sengaja kerana terperanjat.
Ironinya, ramai yang menyangka latah sering berlaku dalam kalangan wanita yang berumur 50 tahun ke atas. Sedangkan hakikatnya, latah juga boleh berlaku dalam kalangan orang muda tanpa mengira jantina.
"Sebelum ini, saya fikir latah hanya berlaku kepada wanita berumur. Tetapi, sangkaan itu meleset apabila saya sendiri mula melatah pada usia 22 tahun.
"Semua ini berpunca daripada kecenderungan saya mengusik penari senior yang melatah. Pada waktu itu, saya bertugas sebagai penari di Istana Budaya (1997).
"Setiap kali waktu rehat, saya pasti mengganggu mereka. Apa lagi, mulalah mereka melatah dengan menari dan menyebut perkataan yang kurang enak didengar," jelas pelakon Noorkhiriah Ahmad Shapie, 34, ketika ditemuiKosmo! di rumahnya di Damansara Perdana, Petaling Jaya.
Keasyikan mengacau orang melatah akhirnya menyebabkan virus tabiat tersebut 'menjangkiti' dirinya. Peliknya, tatkala penari senior melatah, dia pun akan turut serta. Walaupun menerima sergahan yang perlahan, Noor tetap melatah.
Bukan setakat itu, sikap latahnya semakin menjadi-jadi sejak berkawan rapat dengan pelakon, Siti Haida Abdul Moin (Ieda). Ini kerana Ieda antara selebriti yang paling teruk melatah.
Pantang dicucuk, disergah atau terdengar bunyi mengejut, pantas saja dia melatah.
Justeru, apabila kerap bertemu rakan yang juga melatah, kesannya kedua-dua mereka akan melatah tanpa henti apabila terkejut. Lebih menjadi haru-biru apabila ada orang lain yang mengetahui kelemahan mereka akan mengambil kesempatan yang membuatkan mereka terus melatah.
"Paling melucukan disebabkan latah, kami berdua telah ditawarkan berlakon dalam telefilem bertajuk, Mario Mariono Bros.
"Dalam drama tersebut, saya memegang watak gadis latah yang ingin menjalani kehidupan sebagai gadis normal. Bagi mendapatkan aksi latah yang semula jadi, tenaga produksi telah melakukan pelbagai kejutan supaya kami melatah teruk," ujar Noor yang pernah menampar dahi seorang pelakon kerana terkejut apabila pinggangnya diusik.
Segelintir masyarakat menganggap latah tidak perlu ditakuti kerana ia dianggap sebagai satu bentuk hiburan yang mencuit hati. Namun begitu, tanpa kita sedari latah boleh menyebabkan individu tersebut berada dalam keadaan bawah sedar, hilang kawalan dan kepenatan.
Walaupun tidak menyedari perkara yang dilakukan ketika melatah, tetapi sebaik sahaja tersedar daripada melatah, Noor yang pernah memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2007 mengakui dia akan mengalami kepenatan yang teramat sangat.
"Latah sungguh memenatkan sehingga berpeluh-peluh dibuatnya. Situasi ini cukup tidak menyenangkan kerana ia mengganggu kerja saya. Atas faktor tersebut, setiap kali menjalani sesi penggambaran, saya akan minta kerjasama tenaga produksi supaya tidak melakukan sebarang perkara yang boleh menyebabkan saya melatah.
"Apabila sudah penat dan tidak bertenaga, ia menyukarkan saya menjiwai watak," luah Noor yang turut memberitahu latah juga mengundang bahaya dan menjejaskan keselamatan seseorang.
Jelasnya, gara-gara melatah dia dan Ieda hampir mengalami kemalangan jalan raya. Kejadian itu berlaku sewaktu mereka dalam perjalanan pulang selepas penggambaran tamat. Secara tiba-tiba, sebuah kereta yang berada di belakang kereta Noor telah membunyikan hon.
Bunyi hon yang kuat itu telah menyebabkan mereka berdua menjerit dan melatah sehingga Noor melepaskan stereng kereta. Mujur, Ieda segera sedar lalu menenangkan Noor supaya segera mengawal kereta yang hampir merempuh pembahagi jalan.
Bukan itu sahaja, Noor juga pernah membaling telefon bimbit dan sikat serta hampir melemparkan pisau yang sedang digenggam akibat melatah.
Memang seronok melihat orang melatah tetapi tindak-tanduk sedemikian sebenarnya mewujudkan rasa malu dan segan kepada golongan ini.
"Saya bukan badut untuk dipermainkan dan dijadikan bahan ketawa," tegasnya yang berjaya mengurangkan latah dengan kaedah mengetap gigi apabila diusik.
Oleh kerana jarang bertemu geng latah, Ieda memberitahu, pelakon Nadia Mustafar, 33, berjaya membantu mengurangkan sindrom latahnya.
Bagaimana pula dengan lelaki? Adakah tabiat latah mereka lebih teruk berbanding wanita?
"Selain saya, mak dan nenek juga melatah. Nenek pernah mengejar orang dengan parang manakala mak pula pengsan hanya disebabkan latah.
"Tak tahulah sampai bila kami akan melatah. Hakikatnya, saya tak mahu lagi menanggung malu, semput dan keletihan," luah jurusolek bebas, Mohd. Firdaus Mohamed Dian, 24, yang meniru aksi orang, menjelirkan lidah dan membuat mimik muka ketika melatah.
Menurut Mohd. Firdaus, dia pernah terjirus air ke muka pengantin perempuan yang disoleknya. Begitu juga pipi pelanggannya turut diconteng dengan gincu bibir apabila pinggangnya dicucuk.
Namun begitu, Firdaus kini menarik nafas lega kerana tidak lagi mengalami latah yang teruk kerana kurang diusik oleh rakan-rakannya. Jika sewaktu berada di tingkatan tiga, rakan sekelasnya tidak pernah lekang mengacau sehingga dia pernah menangis kerana malu.
Mula dengan terikut-ikut orang lain
Penulis buku American Normal: Hyperstartle Syndrome, Lawrene Osborne pernah menyatakan jika masyarakat Amerika Syarikat (AS) popular dengan penyakit anoreksia, orang Nigeria mengalami masalah kepenatan minda, bangsa Melayu pula menghidap ‘penyakit’ latah (hyperstartle syndrome).
Meskipun kumpulan perubatan masih belum menemui punca sebenar latah, tetapi ia dipercayai berkait rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial.
Menurut Dekan Klinikal Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Zain, sistem saraf pusat yang dimaksudkan itu berlaku di bahagian tengah otak.
Jelasnya, apabila golongan ini disergah secara serta-merta, sistem limbik (di bahagian tengah otak) terganggu dan boleh menyebabkan mereka terkejut, lalu melatah. Pada saat itu, turut berlaku sedikit konflik emosi dan memori.
“Sebab itulah, jika diperhatikan individu yang melatah bukan sahaja melakukan aksi di luar kawalan, malah mereka tidak akan mengingati apa yang berlaku sepanjang insiden tersebut,” jelasnya.
Biasanya, sistem limbik beroperasi apabila terganggu dengan sistem endokrin dan sistem saraf. Ia merupakan sistem kompleks lintasan saraf dan jaringan dalam otak yang melibatkan naluri dan hati.
Namun, Azhar berkata, sindrom melatah pada hari ini semakin berkurangan jika dibandingkan era 30 hingga 40 tahun yang lalu.
Boleh dikatakan sepanjang era itu, majoriti masyarakat kampung melatah atas faktor sosiologi kerana terikut-ikut sifat melatah yang dialami oleh orang lain.
“Jangan ganggu orang melatah kerana mereka akan keletihan memandangkan segala tindak-tanduk yang dilakukan mereka adalah di luar kawalan,” katanya.
Konsultan Psikiatrik di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd Salleh pula, menasihati orang ramai supaya jangan mengganggu atau menyergah orang melatah.
Ini kerana mereka akan mengalami kepenatan sehingga tidak bermaya. “Apabila berada dalam keadaan sedar, kita mampu mengawal pergerakan tetapi tidak ketika melatah,” tambah Dr. Nor Hamidah.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm
No comments:
Post a Comment