Thursday, February 12, 2009

Mas AF2 dibenar keluar hospital

KUALA LUMPUR: Selepas enam hari ditempatkan di wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur akibat tekanan perasaan, peserta program realiti Akademi Fantasia kedua (AF2), Mas dibenarkan pulang pagi semalam.

Mas dijemput bapanya, Ghani Jivie, 67, yang tiba di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Difahamkan, Ghani terus membawa Mas pulang ke Tawau, Sabah bagi meredakan semua tekanan yang dihadapi penyanyi berkenaan.

Pengurus Artis & Repertoire Maestro Records, Othman Mahmood, berkata pihaknya membuat tempahan tiket penerbangan ke Sabah jam 2.30 petang semalam.

“Keadaan Mas sekarang kembali pulih dan mampu berbual seperti biasa. Namun, buat masa ini, saya harap semua pihak tidak mengganggunya sehingga dia sihat sepenuhnya.

“Mas mungkin mengambil masa beberapa minggu berehat di sana dan kami akan fikirkan tindakan selanjutnya nanti,” katanya.

Mas atau nama sebenarnya Asma Ghani terpaksa dihantar mendapatkan rawatan di HKL oleh anggota Balai Polis Pandan Indah, awal pagi Rabu lalu selepas dia bertindak tidak keruan ketika membuat laporan mendakwa rugi RM20,000 akibat ditipu seseorang.

Punca penyanyi berstatus ibu tunggal itu hilang kawalan masih menjadi teka-teki kerana dia belum bersedia memberi sebarang penjelasan. 

Akhbar sebelum ini turut melaporkan tekanan emosi itu disebabkan hubungan cintanya dengan teman lelaki, Shahrul Azman Mohd Shariff atau Rock, 36.

Sebaliknya Rock menafikan dakwaan itu, malah turut menolak kenyataan berlaku perbalahan antara mereka yang menyebabkan Mas hilang pertimbangan dan bertindak di luar kawalan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...