BAITULMAQDIS - Pengundi-pengundi di Israel mengundi semalam bagi memilih seorang Perdana Menteri baru menggantikan Ehud Olmert.
Sebanyak 23.4 peratus daripada hampir 5.3 juta pengundi keluar mengundi lima jam selepas pusat-pusat pengundian dibuka.
Jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding pada 2006 bagi tempoh yang sama.
Calon Perdana Menteri dari Parti Kadima, Tzipi Livni yang diharapkan Olmert akan menggantikannya membeli 10,000 kaki payung untuk diberikan kepada pengundi.
"Hujan atau tidak, sejuk atau panas, anda mesti datang ke pusat pengundian," kata Livni selepas mengundi di Tel Aviv.
Sebelum ini, tinjauan pendapat menunjukkan calon daripada Parti Likud, Benjamin Netanyahu mendahului Livni bagi memenangi jawatan Perdana Menteri.
Keputusan awal pilihan raya itu akan diketahui pada hari ini.
Sementara itu, Netanyahu yang menjadi Perdana Menteri dari 1996 hingga 1999 berikrar akan melakukan perubahan jika menang pilihan raya.
"Orang ramai mahukan perubahan dan mereka akan membuat pemilihan," katanya. - AFP
http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm
No comments:
Post a Comment