Thursday, February 12, 2009

Tukang paip rupa-rupanya...

Tukang paip rupa-rupanya...

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Dia sebelum ini pernah membaiki paip tersumbat di banglo milik seorang ahli perniagaan di Perdana Heights di sini namun setelah mengetahui selok-belok rumah, dia menyamun mangsa membabitkan kerugian kira-kira RM17,000, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari, suspek bersama dua lagi rakannya memasuki kediaman terbabit bersenjatakan pisau pemotong daging sebelum mengikat tangan mangsa manakala mulutnya ditutup menggunakan pita pelekat.

Sebelum kejadian, suspek bersama rakannya dikatakan pergi ke rumah itu untuk membaiki kerja paip yang tertangguh, bagaimanapun dia bertindak sebaliknya apabila mengarahkan mangsa, seorang warga emas berumur 65 tahun, suaminya yang lumpuh, seorang cucu berusia tiga tahun dan pembantu rumah warga Indonesia memasuki sebuah bilik sebelum dikurung.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin, berkata suspek mengenali keluarga mangsa dan dia dikatakan membaiki paip di rumah itu akhir tahun lalu selepas diperkenalkan oleh seorang anak mangsa.

“Kita syak kesempatan itu digunakan suspek untuk membuat pakatan dengan rakannya sebelum bertindak menyamun mangsa.

“Sebaik mengurung dan mengikat mangsa, suspek terbabit menggeledah rumah itu kira-kira 20 minit sebelum melarikan lima gelang emas, tiga utas rantai emas, dua unit telefon bimbit dan satu loket emas,” katanya, semalam.

Berikutan itu, polis kini memburu seorang lelaki Mazlan Abdul Karim, kad pengenalan 800207-08-6231 dan alamat terakhirnya di Lot 2466 Lorong Rumbia, Batu 16, Sungai Plong, Sungai Buloh, Selangor. Dua lagi rakan suspek gagal dicam.

Nor Azam berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu dan ketika kejadian, kawasan terbabit sunyi kerana orang ramai keluar bekerja.

“Rumah mangsa juga tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) manakala ketika kejadian anak mangsa turut keluar bekerja.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa senjata api,” katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Azrin Azhar dengan menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090212092807/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...