Thursday, February 12, 2009

Neraka Sri Damansara


TIDUR DI TANGGA... Tangga rumah turut menjadi ‘katil tidur’ ratusan warga Bangladesh yang tersadai di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA Apa sudah jadi? 


Ketika kerajaan berusaha untuk mengurangkan kemasukan pekerja asing sebanyak 400,000 orang mulai tahun ini, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Sebuah rumah kedai di Bandar Sri Damansara dekat sini tiba-tiba menjadi bahan percakapan penduduk sekitar yang mendapati ia menjadi tempat tinggal lebih 140 orang warga Bangladesh yang hidup melarat.

Mereka didapati terpaksa tinggal di tingkat atas bangunan itu dalam keadaan berhimpit-himpit, tidak ubah seperti sardin dengan berkongsi satu bilik yang hanya ada satu bilik air.

Jadi bayangkanlah suasananya. Keadaan mereka begitu menyedihkan, berbau busuk, persekitarannya kotor dan wajar mereka amat tertekan.


TINGKAT atas sebuah rumah kedai yang menjadi tempat tinggal 140 warga Bangladesh di Bandar Sri Damansara.


Apa yang pasti mereka menjadi mangsa tindakan terdesak sebuah agensi pekerjaan yang berpangkalan di sini yang ‘mengimport’ ratusan warga Bangladesh tetapi membiarkan mereka merempat di situ setelah tiada peluang pekerjaan.

Justeru, timbul persoalan bagaimana mereka terlepas masuk ke negara ini dan terbiar begitu sahaja sedangkan kerajaan telah pun menetapkan dasar pengurangan pekerja asing.

Jika dahulu ejen terbabit memperoleh untung besar kerana warga Bangladesh mendapat permintaan yang tinggi daripada industri dan sektor pekerjaan tetapi gara-gara ekonomi suram, mereka dibiarkan terkapai-terkapai begitu sahaja.

Dengan umpan kononnya mahu memberi pekerjaan bergaji lumayan kepada warga Bangladesh, agensi terbabit membawa masuk pekerja yang mempunyai permit secara beramai-ramai.

Bagaimanapun, realitinya tidak seindah yang dijanjikan. Mereka terus menganggur selepas beberapa bulan masuk ke negara ini.

Warga Bangladesh itu adalah sebahagian daripada kira-kira 60,000 rakyat negara Asia Selatan itu yang masuk ke negara ini sejak bebarapa tahun lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...