Thursday, February 12, 2009

Geng Pakistan tumpas

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

dalam serbuan minggu lalu." title="RAMPAS...Kang (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas
dalam serbuan minggu lalu." height="221" width="300" border="0">
RAMPAS...Kang (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas 
dalam serbuan minggu lalu.

KUALA LUMPUR: Kegiatan sindiket pengedaran dadah antarabangsa didalangi warga Pakistan yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang sejak dua tahun lalu lumpuh apabila enam anggotanya termasuk seorang rakyat tempatan ditahan dalam beberapa serbuan, Khamis lalu.

Agak mengejutkan apabila seorang daripada ahli sindiket ‘Geng Pakistan’ berkenaan didapati bekerja sebagai pemandu teksi haram sejak lapan tahun lalu dan sudah berkahwin dengan wanita tempatan. 

Difahamkan, sindiket itu dikatakan mendapat bekalan dadah jenis heroin dari Timur Tengah sebelum menyeludup masuk ke negara ini dan mengupah warga tempatan sebagai ‘ulat’ untuk mengedar bahan haram terbabit. 

Mereka yang memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dipercayai turut bertindak licik apabila menggunakan teksi sebagai transit urus niaga penjualan dadah sekali gus mengelak diri daripada dicekup pihak berkuasa. 

Bagaimanapun, kegiatan sindiket itu terbongkar apabila enam lelaki ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Kuala Lumpur dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar ibu kota dan Ampang, Selangor, Khamis lalu. 

Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas heroin seberat 360 gram dianggarkan bernilai RM450,000 termasuk sebuah kereta jenis Volvo dan 11 telefon bimbit. 

“Hasil maklumat dan risikan dilakukan selama dua minggu, polis menahan seorang lelaki warga Pakistan iaitu ahli sindiket berkenaan di depan sebuah hotel di Jalan Raja Laut pada kira-kira jam 6.15 petang. 

“Pemeriksaan lanjut dalam beg bimbitnya kemudian menemui dua bungkusan plastik berisi heroin tulen dipercayai diseludup masuk sejak seminggu lalu dari negara Timur Tengah,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam. 

Menurutnya, hasil soal siasat membawa kepada penahanan lima lagi rakannya termasuk seorang warga tempatan masing-masing di Jalan Raja Laut, KLCC dan Ampang Campuran, Selangor. 

Kang berkata, siasatan awal mendapati nilai heroin tulen yang dirampas itu dianggarkan RM80,000 dan jika dijual di pasaran gelap dengan harga RM10 setiap satu selepas diasingkan kepada 45,000 tiub penyedut, harganya mampu mencecah RM450,000.

“Kita akan mempergiatkan usaha memburu saki-baki sindiket itu sekali gus mengenal pasti lokasi makmal pemprosesan dadah terbabit,” katanya.

Menurutnya, semua suspek berusia 33 hingga 50 tahun itu direman sehingga Khamis depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan petang Ahad lalu, seorang lelaki berusia 39 tahun dipercayai pengedar dadah ditahan selepas polis menemui dadah ganja seberat 1,200 gram bernilai RM5,000 di rumahnya di Kampung Baru, di sini.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090211093023/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...