Thursday, February 12, 2009

Dua Datuk Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong

Tindakan perundangan jika MB gagal selesai


AMPANG: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan akan diambil tindakan mahkamah sekiranya tidak menyelesaikan segera kemelut mengenai kedudukan Undang Luak Sungai Ujong dalam tempoh terdekat.

Mohamad didakwa secara cuai menangguhkan usaha menyelesaikan masalah yang berlaku hingga keadaan menjadi lebih mengelirukan apabila kini terdapat dua Datuk Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong itu.

Datuk Lembaga Kanan Luak Sungai Ujong, Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata pihaknya sudah beberapa kali menghantar surat untuk bertemu dengan Mohamad bagi membincangkan masalah itu, tetapi tiada sebarang jawapan diterima mengenainya.

Menurutnya, pihaknya juga sudah memaklumkan pemecatan Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang Datuk Klana Petra Undang Sungai Ujong selepas Ibu Soko (ibu pusaka) dan anak waris melalui empat kerapatan (mesyuarat agung) mendapati dia melakukan salah laku adat.

Katanya, pihaknya turut memaklumkan kepada Menteri Besar itu mengenai pelantikan Datuk Kelana Petra Undang Sungai Ujong yang baru.

“Saya selaku Datuk Lembaga Kanan dan Datuk Seri Diraja Maharaja sudah mengisytiharkan dan memasyhurkan, Othman Ismail sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong ke-11 mengikut Artikel 14(1) Perlembagaan Negeri Sembilan 1959 selepas dipilih sebulat suara Ibu Soko dan anak waris.

“Othman diisytiharkan menyandang jawatan itu pada 8 Februari lalu dan pelantikannya sudah dimaklumkan kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media khas di kediamannya di sini, semalam.

Awal bulan lalu, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan menolak keraguan pelantikan Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong kerana mendakwa ia tetap dilakukan mengikut adat istiadat dan perisytiharan lantikan dibuat Datuk Shahbandar Luak Sungai Ujong, Datuk Shaari Hassan, pada 29 Disember 1993.

Setiausaha dewan itu, Datuk Jemal Zainal Kasim berkata, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada mesyuarat khas 19 Ogos 2002 membincangkan isu pelantikan itu dan membuat keputusan Mubarak kekal menyandang pusaka Datuk Klana Petra ke-10 Undang Luak Sungai Ujong.

Bagaimanapun, keputusan itu dipertikaikan kerana didakwa bukan sahaja pelantikannya tidak sah, malah sudah dipecat mengikut Artikel 14 (1) dan 32 Perlembagaan Negeri Sembilan 1959 serta Artikel 71 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan itu, Mubarak kini didakwa tidak mempunyai kuasa mencampuri urusan adat termasuk permasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada akhir Disember lalu.

Mengikut Adat Pepatih di Negeri Sembilan, Datuk Undang Luak Sungai Ujong adalah pengerusi kepada tiga lagi Datuk Undang Luak yang terdapat di negeri itu iaitu Jelebu, Johol dan Rembau.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...