[SEMASA] PETALING JAYA: Setelah hampir lima tahun menyulam cinta, vokalis kumpulan Love Me Butch, Syarul Reza Abdul Aziz, 29, nekad untuk melamar kekasih hatinya, Raja Shahirah Aishah, 23, anak perempuan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah yang pernah mencetuskan kontroversi kira-kira 17 tahun berikutan isu pertikaian hak penjagaan anak.
Pasangan ini bakal melangsungkan majlis perkahwinan mereka pada 7 Mac ini di Aryani Resort, Merang, Kuala Terengganu dengan berkonsepkan Melayu tradisional.
Bercerita tentang perkenalan awal mereka, kata Syarul, dia dan Shahirah diperkenalkan oleh seorang rakan sebelum mereka bersama-sama menubuhkan kumpulan muzik Lab Rat dan menyertai sebuah pertandingan yang mana mereka berjaya mewakili negara untuk 'The Global Battle of the Bands Challenge 2008' yang berlangsung di London akhir tahun lalu.
Selain Syarul dan Shahirah, kumpulan itu turut dianggotai oleh dua orang adik-beradik Syarul iaitu Syaril Zizi Abdul Aziz, 30 dan Syaiful Nazri Abdul Aziz, 25, serta seorang lagi ahli kumpulannya, Azwan “Kecik” Hadi, 29.
"Kami mempunyai minat yang sama iaitu muzik. Setelah kami tubuhkan Lab Rat, hubungan kami memang semakin rapat. Di awal perkenalan kami dulu, memang saya tidak tahu dia adalah anak kepada Raja Kamarul.
"Tetapi bapanya juga tidak kisah dengan status saya sebagai pemuzik.
"Apapun, saya tidak mahu bercerita lanjut tentang hubungan kami. Cukuplah tentang kisah perkahwinan kami ini. Apa yang boleh saya katakan, majlis kami ini akan dibuat dalam suasana yang 'simple' dan sederhana saja.
"Kemungkinan kami juga akan mengadakan sebuah resepsi di Ausralia di sebelah pihak ibu Shahirah, selepas itu. Tetapi masih belum diputuskan lagi," ujar Syarul yang dihubungi, hari ini.
Syarul yang kini sibuk menguruskan dua kumpulan muziknya iaitu Lab Rat dan Love Me Butch itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang kisah hubungannya dengan Shahirah.
Kisah Raja Kamarul dan bekas isterinya yang merupakan ibu kandung Shahirah, Jacqueline Pascarl-Gillespie, mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa sekitar tahun 1992 apabila Shahirah yang ketika itu berusia tujuh tahun dan abangnya, Raja Baharuddin dilarikan oleh Raja Kamarul ke Malaysia daripada jagaan Jacqueline yang menetap di Australia ketika itu.
Kisah tersebut kembali hangat apabila Shahirah buat pertama kalinya bertemu Jacqueline di Australia kira-kira tiga tahun lalu setelah 13 tahun terpisah dengan ibu kandungnya itu.
Difahamkan, majlis perkahwinan yang bakal berlangsung di Terengganu itu nanti juga akan turut dihadiri oleh Jacqueline.
No comments:
Post a Comment