helmy@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Jangan cuba ugut saya,” kata Pengerusi DAP, Karpal Singh sebagai mengulas 57 laporan polis selain bantahan serta demonstrasi dibuat pelbagai pihak yang membantah kenyataannya ingin menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pelantikan Datuk Dr Zambry Abd Kadir menggantikan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak.
Karpal berkata, beliau tidak akan meminta maaf dan tetap dengan pendiriannya selain menganggap laporan polis yang dibuat terhadapnya tidak berasas.
“Sudah 40 tahun saya jadi peguam dan saya tahu apa yang saya buat. Jangan cabar saya. Semua laporan polis yang dibuat berikutan kenyataan saya adalah palsu dan tidak berasas.
“Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Kenapa saya perlu minta maaf. Saya bukan pengecut dan segala yang saya katakan sebelum ini adalah betul. Tindakan saman yang dicadangkan sebelum ini juga akan saya teruskan, cuma, tarikhnya belum diputuskan. Saya juga bersedia untuk ke mahkamah jika tindakan saya itu satu kesalahan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Menurutnya, beliau bersedia untuk dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat terhadapnya.
“Saya sedia memberi keterangan pada bila-bila masa, malah pagi tadi (semalam) seorang anggota polis berpangkat asisten superintendan ada menghubungi anak saya berhubung perkara ini.
“Tapi saya pinta siasatan dan pertuduhan yang dibuat terhadap saya mengikut lunas undang-undang,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090211092540/Article/index_html
No comments:
Post a Comment