LOS ANGELES - Jeritan penyanyi popular, Rihanna dapat didengari dalam panggilan kecemasan kepada pihak polis pada malam dia didakwa dipukul oleh teman lelakinya, Chris Brown, lapor sebuah akhbar semalam.
"Pihak kami merekodkan bunyi seorang wanita sedang menjerit," kata seorang detektif Jabatan Polis Los Angeles (LAPD), Deshon Andrews tetapi dia enggan mendedahkan dengan terperinci.
Namun, polis mengesahkan penyanyi berusia 20 tahun itu mengalami kecederaan fizikal kerana terdapat kesan bengkak dan calar pada muka di samping tanda bekas gigitan di bahagian tangan dan jarinya. Menurut laman berita TMZ.com, penyanyi yang popular dengan laguUmbrella itu dirawat pada awal pagi di Pusat Perubatan Cedars-Sinai di sini.
Polis mengkategorikan kes itu sebagai serangan domestik manakala Brown, 19, didakwa mengugut Rihanna sewaktu pertengkaran mereka sehingga menyebabkan pasangan tersebut tidak hadir pada majlis anugerah Grammy Ahad lepas.
Dia dibebaskan dengan ikat jamin AS$50,000 (RM180,210) sementara menunggu perbicaraan kes itu pada 5 Mac depan.
Berikutan insiden pada hujung minggu lalu itu, Rihanna terpaksa menangguhkan konsert di Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung esok manakala tarikh baru konsert tersebut akan diumumkan dua minggu lagi. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm
No comments:
Post a Comment