Thursday, February 12, 2009

Kopi Pacak

Periksa ramuan kopi


KUALA LUMPUR: Periksa kandungan ramuan atau elakkan terus pengambilannya! Itu saranan Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman kepada orang ramai terutama penggemar kopi ‘penaik syahwat’ bagi mengelakkan risiko berdepan komplikasi kesihatan.

Katanya, pengguna perlu lebih bijak menilai minuman dan makanan pracampuran berikutan lambakan produk seperti itu di pasaran.

“Sebagai pengguna, kadang-kadang memang tercetus rasa ingin mencuba pelbagai produk kopi atau makanan seperti itu, lebih-lebih lagi ia kini banyak dijual di kedai makan.

“Paling baik jika pengguna cuma mengambil atau memesan minuman biasa diambil dan dipastikan tidak mendatangkan bahaya kepada mereka, contohnya kopi dan teh,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan mengenai kemunculan satu lagi produk kopi campuran maut yang dikesan sengaja dicampur serbuk kimia berbahaya didakwa mampu merangsang syahwat lelaki dalam tempoh kurang 10 minit.

Kopi campuran yang turut dikenali sebagai ‘kopi pacak’ berkenaan dikesan dikilangkan sebuah syarikat pasaran tempatan dan luar negara.

Sumber bahagian Penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, kewujudan produk terbabit yang boleh mengancam nyawa pengguna berjaya dikesan selepas pihaknya menjalankan pemantauan terhadap beberapa produk kopi di pasaran.

Hasil daripada ujian kimia yang dijalankan, pihak farmasi mengesan aktiviti kilang pengeluar itu yang secara rahsia mencampurkan bahan kimia berbahaya dipercayai sintetik sildenafil nitrat dalam serbuk kopi.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090211092837/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...