Saturday, February 7, 2009

Exco PKR Kedah 'bercuti', tidak hilang

Jimadie Shah Othman | Feb 6, 09 7:13pm
Sewaktu desas-desus BN cuba menumbangkan Kedah selepas kejayaan di Perak, seorang exco kerajaan negeri V Arumugam dikatakan "tidak hilang, sebaliknya sedang bercuti".

"Beliau bercuti lima hari. Kalau tidak salah saya, bermula Khamis, semalamlah," kata Dr Hamdan Mohamed Khalib. 

Exco sukan dan kesenian itu bagaimanapun menafikan rakannya di majlis mesyuarat negeri itu mengambil cuti sakit seumpama dua bekas exco Perak, Jamaluddin Mat Radzi dan Mohd Osman Jailu sebelum memutuskan keluar PKR dan menyokong BN.

Ditanya lokasi percutian exco perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna Kedah itu bercuti, Dr Hamdan bekata beliau difahamkan tempatnya di dalam negara.

Arumugam VengatarakooWakil rakyat PAS itu diminta mengulas laporan akhbar berbahasa Cina hari ini yang mendakwa Arumugam (foto) tidak boleh dihubungi – dan keadaan membuka ruang spekulasi  kemungkinan wakil rakyat PKR Bukit Selambau akan melompat parti. 

Laporan itu menyemarakkan lagi cakap-cakap bahawa Arumugam akan meninggalkan PKR bagi melengkap projek merampas kuasa di negeri itu seperti yang dilakukan BN di Perak minggu ini.

Dihubungi Malaysiakini petang ini, Dr Hamdan berkata kerajaan Kedah masih dapat menghubungi Arumugam setakat ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Dawai itu berkata, cubaan membeli Adun-adun Pakatan di negeri itu bermula sejak awal  apabila gabungan PAS-PKR-DAP itu menumbangkan BN dalam pilihanraya umum lalu.

Bagaimanapun, tambah beliau, usaha itu "tidak pernah berjaya sampai sekarang".

Dr Hamdan turut menafikan terdapat usaha mengurung Adun mereka sama ada daripada PKR atau DAP bagi mengelakkan mereka melompat kepada BN.

Usaha Malaysiakini menghubungi Arumugam setakat ini tidak berjaya.

Sementara itu, ahli parlimen PKR Padang Serai, N Gobalakrishnan juga menafikan kehilangan Adun Bukit Selambau. 

"Semalam saya ada cakap dengan dia. Dia orang yang ada prinsip dan tahu bahawa PKR dan Pakatan mempunyai prinsip," katanya, juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR.

Sehubungan itu, beliau percaya Arumugam akan terus bersama Pakatan dan tidak akan melompat ke parti lawan.

Ditanya sama ada kegagalan Arumugam hadir dalam perasmian daerah baru Pokok Sena semalam merupakan tanda beliau akan melompat parti, Gobalakrishnan menjawab ringkas: 

"Saya pun tidak datang."

Isnin lalu, Arumugam melaporkan kepada polis dengan dakwaan ada tawaran wang dan ugutan agar meninggalkan PKR, termasuk terhadapnya, keluarga dan pegawainya.

Semalam, di saat kerajaan Perak di ambang kejatuhannya, Pakatan Rakyat di Kedah mengadakan satu mesyuarat tergempar membincangkan perkembangan di negeri jirannya itu. 

Gabungan tersebut diura-urakan mengawal ketat beberapa Adun yang dianggap "berisiko tinggi" untuk melompat parti.

Malaysiakini difahamkan wakil-wakil rakyat yang dispekulasikan itu – Tan Wei Xu (Bakar Arang), Mohd Rahzi Salleh (Lunas) dan Lim See Nee (Kulim) – kini diletakkan dalam pengawasan rapi kepemimpinan Kedah dan Pakatan.

http://www1.malaysiakini.com/news/97782

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...