Saturday, February 7, 2009

Impian penyanyi wanita Afghanistan

Di dalam keluarganya sendiri, salah seorang pakciknya mengugut akan membunuhnya kerana tindakannya memilih jalan hidup yang bertentangan dengan prinsip pemerintah negaranya.




WALAUPUN Elaha tidak akan memenangi pertandingan realiti versiAmerican Idol di Afghanistan pada tahun ini, namun gadis berusia 20 tahun itu tetap mahu meneruskan impiannya menjadi penyanyi terkenal.

Malah, semua itu dilakukan semata-mata untuk memberi inspirasi kepada wanita Afghanistan supaya berani memilih jalan hidup masing-masing.

Saat selepas dia tersingkir pada musim keempat Afghan Star, Elaha Sorur merebahkan badannya ke lantai, dia menangis sambil menundukkan kepalanya. Reaksi spontan Elaha dipamerkan secara langsung menerusi saluran televisyen tempatan.

Kamera televisyen berjaya merakamkan semuanya dan tangisan jelas kedengaran di telinga penonton.

Ia satu perkembangan dramatik yang tidak dijangka daripada seorang wanita yang mampu bertahan setelah menerima ancaman bunuh untuk menjadi satu-satunya peserta wanita yang tinggal dalam kalangan lapan peserta lain.

Sejak rancangan realiti itu dimulakan tiga bulan lalu, wanita cantik dari minoriti Hazara itu berjaya mencuri hati peminat, generasi urban baru yang telah berkembang sejak kejatuhan Taliban pada tahun 2001.

Pada hari dia tersingkir, Elaha berjaya menghiburkan penonton seramai 400 orang di dalam dewan di mana program tersebut dirakam dua kali seminggu.

Dengan memakai sehelai kot panjang, skirt denim dan sepasang but berwarna merah serta selendang berwarna-warni yang menutupi rambutnya, Elaha menyanyikan lagu bintang Afghanistan, Farhad Darya yang merupakan juri jemputan pada hari tersebut.

"Masa berlalu, begitu juga musim bunga. Masa berlalu, ia akan kembali dan anak muda akan mencapai usia matang," begitulah antara bait lirik yang didendangkan olehnya sambil tangannya memegang mikrofon, tersenyum dan melenggokkan badannya mengikut alunan muzik.


ELAHA SORUR yakin akan muncul sebagai bintang walaupun tersingkir daripada rancangan realiti versi American Idol, Afghan Star di Afghanistan.


Begitulah tingginya pujian dia terhadap Darya.

"Saya sangat mengagumi keberanian anda yang hidup di dalam negara yang masih mengekalkan tradisi di mana wanita hanya layak berada di rumah. Elaha, semua pemuzik di Afghanistan bersama anda," jerit penyokongnya.

Di luar set, seorang pelajar yang moden dan bergaya, Sona, 20, memberitahu yang dia akan mengundi Elaha menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana menganggap bakal penyanyi wanita itu memerlukan sokongan.

Elaha yang mewarisi kecantikan semula jadi penduduk Asia Tengah dengan tulang pipi yang tinggi, mata hitam berbentuk badam dan berambut hitam yang diselang-seli dengan warna perang secara tidak langsung telah menyerlahkan kecantikannya.

"Saya suka gayanya," kata Abdul Tarim, 22, sambil tersenyum.

Para hakim dan peminat seakan-akan sebulat suara mengatakan tiada lagi peserta wanita dari 'bintang Afghan' yang mempunyai kebolehan dan bakat sepertinya.

Dilahirkan di Kabul dan dinamakan Mariam, dia menghabiskan 14 tahun pertamanya di Iran di mana dia hidup seperti 'orang biasa' bersama bapanya, bekas juruterbang tentera Afghan yang kini menjadi seorang ahli perniagaan manakala ibunya tinggal bersama enam anaknya di rumah.

Dalam temu bual dengan AFP sebelum disingkirkan dari pertandingan yang menyaksikan Afghanistan menyifatkannya sebagai seorang wanita yang mempunyai cita-cita untuk bergelar penyanyi, sedangkan ia sesuatu kehendak yang bertentangan bagi penduduk yang negaranya mengamalkan dasar Islam yang radikal.

"Tetapi saya suka dan ketagih," katanya. Dia menyertai sebuah kumpulan muzik pada 2004 dan empat tahun kemudian, dia memasuki pula satu uji bakat program Bintang Afghan dan menggunakan nama Elaha yang membawa maksud 'dewi pujaan' mengikut bahasa Parsi.

Wanita muda ini menerima hidupnya yang berubah secara radikal sejak tiga bulan lalu. Ketika ditanya mengenai surat cinta dan perkahwinannya apabila wakil AFP berpeluang bersamanya selama 10 minit, dia hanya ketawa dan memberitahu:

"Ya. Perkara itu sudah pasti berlaku. Tetapi tidak semuanya membawa kepada kebaikan.

"Seorang lelaki yang merahsiakan identitinya menghubungi saya dan mengugut akan mencacatkan wajah saya dengan asid," katanya.

Bahkan di dalam keluarganya sendiri, salah seorang pak ciknya mengugut akan membunuhnya kerana tindakannya memilih jalan hidup yang bertentangan dengan prinsip pemerintah negaranya.

Baginya, ugutan tersebut sedikit pun tidak menjadi penghalang. "Tiada apa yang menjadi penghalang kepada saya daripada meneruskan cita-cita saya untuk menyanyi dan berkarya kepada orang ramai. Muzik memberikan semangat, bantulah ia untuk berkembang dan saya mahu wanita Afghan tidak lagi mempunyai rasa malu untuk menjadi wanita," tegasnya.

Ketika sesi temu ramah ini dilakukan, dia begitu optimis untuk meneruskan penglibatannya ke peringkat seterusnya tetapi beberapa hari kemudian, harapannya musnah apabila dia disingkirkan dari pertandingan tersebut.

Peminat memandang perkara itu dengan membuat beberapa anggapan dan teori, antaranya ialah tekanan daripada ahli konservatif dan peminatnya tidak kisah untuk mengundi bagi menentukan kemenangannya.

Apabila keputusan itu diumumkan, Elaha seakan-akan tergamam dan air matanya terus menitis ke pipi. Sungguhpun demikian, dia masih boleh memperkatakan sesuatu kepada penonton:

"Anda akan lihat nanti siapa yang akan menjadi bintang. Anda semua akan mendengar lagu saya." - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...