Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff mendakwa Umno Balik Pulau telah memutarbelitkan fakta berhubung dakwaan kerajaan negeri Pulau Pinang, tidak membenarkan Tabika Kemas menggunakan bangunan kerajaan negeri di Kuala Sungai Pinang. Seramai 22 kanak-kanak Tabika Kemas di Taman Nelayan Kuala Sungai Pinang dilaporkan terpaksa belajar di bawah panas terik lebih dua jam, kerana pintu pagar tabika dirantai dan dimangga. Ia didakwa dikunci oleh Jawatankuasa Keselamatan & Kemajuan Kampung (JKKK) Kuala Sungai Pinang di bawah kelolaan kerajaan negeri Pulau Pinang.
Yusmadi yang juga Ketua AMK Pulau Pinang menjelaskan, timbalan pengerusi JKKK, Kuala Sungai Pinang, Abdul Rahim Bin Md Isa - orang yang dipertanggungjawabkan menguruskan premis itu - telah meminta Tabika Kemas beroperasi seperti biasa walaupun kerajaan Pakatan Rakyat memerintah ketika itu.
Bagaimanapun, beliau mendakwa pengerusi Umno cawangan Sungai Pinang, Ismail Johar, menceroboh premis tersebut dengan memotong kunci tanpa pengetahuan JKKK Kuala Sungai Pinang pada 2 Januari lalu.
Sehubungan itu, Yusmadi berkata, sehari kemudiannya, JKKK telah menjemput jawatankuasa Kemas untuk menghadiri mesyuarat, yang dipengerusikan oleh beliau sendiri, bagi mendapat penjelasan mengenai kejadian tersebut.
Bagaimanapun, katanya, jawatankuasa Kemas tidak hadir tetapi mesyuarat tersebut bersetuju menghantar surat kepada Kemas negeri dan memaklumkan mengenai pencerobohan tersebut.
Kunci pintu
"Dewan tersebut telah di kunci oleh JKKK Kuala Sungai Pinang memandangkan tiada sebarang jawapan dari Kemas Negeri Pulau Pinang, menunjukkan mereka tidak berminat untuk berkerjasama dengan pengurusan premis tersebut," kata Yusmadi dalam kenyataannya.
Sementara itu, ahli jawatakuasa Umno bahagian Balik Pulau, Sabuddin Shaari pula mendakwa JKKK Kuala Sungai Pinang mengunci pintu pagar premis Kemas itu tanpa kebenaran pegawai daerah dan dianggapnya sebagai satu penyalahgunaan kuasa.
"Arahan tak ada lagi dari kerajaan negeri untuk mengambil alih bangunan tersebut. Arahan tak ada lagi.
"Jadi ia masih lagi di bawah Kemas. Tindakan (mengunci adalah tindakan) sendiri JKKK tanpa pengetahuan DO (pegawai daerah)," katanya.
Beliau turut mendakwa bahawa kejadian JKKK mengunci pintu pagar bangunan tersebut pernah berlaku sebanyak dua atau tiga kali sebelum ini.
"Kali ini merantai dengan rantai yang besar serta dimangga," katanya.
Taib: Tanah PERDA
Beliau menjelaskan, bangunan Kemas itu di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Katanya, menteri berkenaan, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang menghadiri satu majlis di bahagian itu pagi tadi, turut meninjau kawasan tersebut untuk mengetahui perkembangan isu tersebut.
Muhammad membidas tindakan JKKK itu yang didakwanya sudah tiga kali cuba menutup dan mengambil alih bangunan Tabika Kemas itu dengan mengarahkan pengurusan tabika mengosongkan bangunan itu sedangkan mereka tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
Bernama melaporkan beliau berkata, bangunan itu didirikan di atas tanah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan bukan tanah kerajaan negeri.
"Ini tanah PERDA yang diberikan sebagai tapak untuk membina tabika bagi kemudahan kanak-kanak mendapat pendidikan awal di kawasan ini.
"Kalau mengikut geran, hanya kawasan padang permainan sahaja yang diserahkan kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk diuruskan tetapi tapak bangunan ini tidak. Jadi apa hak mereka nak mengambil bangunan ini?," katanya yang kesal dengan perkara itu.
http://www1.malaysiakini.com/news/97525
|
No comments:
Post a Comment