Saturday, February 7, 2009

Wadah ateis Indonesia

Walaupun bilangannya kecil, ateis di Indonesia menggunakan Web 2.0 iaitu laman blog dan laman rangkaian sosial untuk mendapatkan lebih ruang menyatakan pandangan mereka.


LAMAN web seperti Facebook dan Friendster Multiply digunakan oleh pengikut Ateis untuk menunjukkan mereka wujud di Indonesia. - Gambar hiasan.


ASYIK menghisap rokok di sebuah kedai kopi yang moden tanpa menghiraukan laungan azan di masjid yang menyeru mendirikan solat, penganut Ateis (tidak mempunyai agama) di Indonesia, Didi dan Dewi tidak seperti kebanyakan penduduk di negaranya.

Mereka berdua merupakan antara individu yang tidak mempunyai kepercayaan agama dalam sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam. Mereka membiarkan status agama mereka diketahui oleh segelintir orang di dunia 'nyata'.

Sebaliknya, kedua-dua wanita itu menyertai sekelompok golongan Ateis muda di Indonesia yang menemui perlindungan di dunia maya, Internet. Mereka menggunakan laman-laman rangkaian sosial, senarai mel, blog dan laman wiki untuk berkomunikasi dengan individu yang berminda serupa dengan mereka dan secara terang mengakui tidak ada Tuhan yang boleh menghukum seseorang.

"Bagi saya secara peribadi, memasuki Internet hanyalah untuk berkongsi pandangan saya dan menemui kelompok manusia yang berfikir sama seperti saya. Sebabnya, saya tidak menemui ramai orang seperti saya dalam dunia sebenar," kata Didi, 29, yang merupakan seorang arkitek.

"Adalah lebih mudah mengaku bahawa anda ialah seorang gay berbanding anda seorang Ateis," tambah Didi. Dewi yang merupakan seorang pelajar berusia 21 tahun yang tidak mengagumi sebarang agama dan pantang larang bersetuju dengan pendapat Didi. Dalam kehidupannya di Bandung, Jawa Barat, dia merahsiakan anutannya kepada semua orang kecuali beberapa kawan rapatnya.

"Jika ada seseorang bertanya kepada saya 'anda hendak solat?', saya pun buat-buat solat. Ia solat berpolitik," katanya.

Kedua-dua wanita yang enggan memberikan nama sebenar mereka, memasuki Internet setiap hari untuk berdiskusi tentang agama mereka dengan rakan-rakan Ateis yang lain.

Apa yang akan berlaku kepada mereka jika Internet tidak ada, Didi ketawa dan berkata: "Saya akan menjadi seorang Ateis yang berahsia sepenuhnya. Jika saya dedahkan kepercayaan saya, pasti saya akan diserang secara fizikal atau dibunuh."

Adalah sesuatu yang mustahil untuk mengetahui berapa banyak golongan Ateis di Indonesia, sebuah negara berpopulasi 234 juta dengan hampir 90 peratus beragama Islam. Dengan kata lain, golongan Ateis seakan-akan secara tidak rasminya tidak wujud.

Setiap warga Indonesia mesti membawa satu kad pengenalan yang menyebut agamanya iaitu salah satu daripada enam agama rasmi meliputi Kristian Protestan, Katolik, Islam, Buddha, Hindu atau Konfucianisme. Mempercayai Tuhan juga merupakan satu rukun negara ideologi Pancasila Indonesia.

Kematian setengah juta orang dalam peristiwa berdarah Parti Komunis Indonesia (PKI) yang telah membawa kepada kebangkitan kuasa diktator Suharto pada tahun 1966 juga meninggalkan kesannya.


SEORANG wanita Islam Indonesia melayari laman web di Jakarta.


Propaganda antikomunis semasa pemerintahan 32 tahun Suharto juga membawa makna Ateis sering dikaitkan dengan komunis di Indonesia, sebuah negara yang paranoid terhadap Perang Dingin yang tidak pernah berkesudahan sepenuhnya.

Ia merupakan satu stigma yang menyebabkan seorang guru berusia 35 tahun yang hanya dikenali sebagai XYZMan dari Sumatera Barat dengan segera membuka satu senarai mel dalam tahun 2004 untuk para Ateis berdiskusi. Senarai itu kini sudah memiliki sebanyak 350 ahli.

Di sebalik kejayaan senarai mel itu, XYZMan berkata, dia tetap dipaksa merahsiakan anutannya itu. Bahkan, dia pernah bercerai dengan seorang wanita Islam apabila wanita itu mengetahui dia tidak mempunyai kepercayaan.

"Jika semua orang tahu bahawa saya seorang Ateis, saya boleh kehilangan pekerjaan dan saya akan dibenci keluarga serta rakan," katanya dalam satu interviu menerusi e-mel.

"Ada juga kecenderungan untuk saya diserang secara fizikal. Justeru, kami gunakan segala ruang yang boleh untuk menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya kami ada."

Walaupun bilangannya kecil, Ateis Indonesia dengan pantas menggunakan sesuatu yang dinamakan Web 2.0 iaitu laman blog dan laman rangkaian sosial untuk mendapatkan lebih ruang menyatakan pandangan.

"Kami menggunakan semua laman rangkaian sosial yang ada sepertiFacebook, Friendster Multiply dan lain-lain untuk menunjukkan kewujudan kami dan berkumpul," kata Karl Karnadi, seorang pelajar Indonesia yang kini belajar di Jerman kepada AFP menerusi mesejFacebook.

"Selain menghubungkan penganut Ateis, kewujudan web-web itu juga memecahkan tembok sempadan bahasa apabila mereka dapat membaca tulisan Ateis barat seperti Richard Dawkins dan Christopher Hitchens," tambah Karnadi.

Selain itu, para Ateis Indosnesia juga menggunakan wiki Ateis Indonesia (Indonesian Atheist) untuk menyumbangkan artikel berbahasa Indonesia

Kewujudan web-web itu juga bertindak seperti menyediakan khidmat sokongan. Facebook turut mempunyai diskusi bagaimana untuk membangkitkan subjek agama kepada rakan dan keluarga, yang mana kebanyakan ahli berpendapat adalah satu cara paling bijak untuk terus 'memakai topeng'. Karnadi, bekas pemain piano gereja yang berpaling dari ajaran Kristian, baru-baru ini berkata, matlamat akhirnya ialah untuk membina satu pusat laman web yang boleh menyelaraskan semua Ateis di Indonesia.

Ia merupakan satu tugas yang lebih mudah dilakukan di luar negara.

"Saya mendapat kebebasan di sini...dan saya boleh melakukan apa sahaja. Buat laman web Ateis, bina kumpulan Ateis atau mengkritik agama secara terbuka. Saya tidak perlu risaukan hukuman penjara dan tidak ada pentaksub-pentaksub agama yang akan membunuh saya," katanya. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...