Saturday, February 7, 2009

Osman akan 'timbul' sehari dua lagi...

Muda Mohd Noor | Feb 2, 09 4:48pm

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu akan 'timbul' dua tiga hari lagi, kata seorang wakilnya hari ini.

Wakilnya itu, Puzi Ghazali memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar, selepas membaca kenyataan Osman, di sebuah hotel di Shah Alam petang tadi, menafikan beliau telah meletak jawatan sebagai Adun atau melompat parti.

Osman JailuSehubungan itu, katanya, Osman (foto) berharap pemimpin Pakatan Rakyat, terutama PKR, supaya menghentikan sebarang kenyataan yang berunsur tohmahan terhadapnya.

Puzi juga berkata Osman tidak membuat sebarang laporan polis berhubung isu tersebut.

Katanya, beliau sedar ada pihak yang membuat laporan polis, tetapi "bukan YB yang buat".

Tengahari tadi, seorang lelaki yang mengaku sebagai wakil Osman,  membuat laporan polis bagi menafikan peletakan jawatannya sebagai Adun Changkat Jering.

Aduan polis kira-kira jam 1.30 pagi tadi dilaporkan dibuat oleh Mohd Farizal Umar di balai polis Seksyen 11, Shah Alam.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa Osman 'disimpan' oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Puzi berkata: "No comment, saya tidak tahu..."

"Dalam masa sehari dua lagi akan timbullah YB," katanya.

Ditanya mengapa Osman tidak hadir sendiri dalam sidang akhbar tersebut, Puzi berkata, Osman pergi ke hospital kerana "demam, tidak berapa sihat dan batuk-batuk".

Puzi yang juga mengaku sebagai seorang penyokong PKR berkata, beliau telah diarahkan oleh Adun Changkat Jering itu supaya membaca kenyataan tersebut kepada pihak media.

Berikut adalah kenyataan penuh Osman:

Penafian peletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Changkat Jering.


Adalah saya, Yang Berhormat Kapten (B) Mohd Osman Mohd Jailu, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Changkat Jering, ingin menafikan bahawa saya telah meletakkan jawatan saya sebagai wakil rakyat.

Saya juga ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah pergi ke rumah Speaker Dewan Undangan Negeri Perak bagi menyerahkan surat peletakan jawatan saya seperti yang didakwa.

Sebaliknya, saya masih berkhidmat sebagai wakil rakyat seperti biasa dan sehingga kini tidak timbul soal saya telah melompat parti.

Saya berharap penjelasan saya ini akan merungkai segala kekeliruan yang timbul.

Pada masa yang sama, saya juga berharap para pemimpin Pakatan Rakyat terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri menghentikan sebarang kenyataan yang berunsur tohmahan terhadap saya.

Sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh majoriti penduduk di kawasan Changkat Jering, saya merasakan bahawa tugas saya sebagai wakil rakyat masih banyak dan mesti diteruskan berdasarkan amanah yang dipikul di bahu saya. 

Sekian.

Yang benar,
YB Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu


http://www1.malaysiakini.com/news/97432

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...