Muda Mohd Noor | Feb 6, 09 10:57am |
Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin pergi ke pejabatnya seperti biasa pagi ini dan berada di situ selama kira-kira 45 minit sebelum beredar pulang ke kediaman rasminya. Nizar bersama barisan exconya tiba kira-kira jam 9.40 pagi dan mendapati pintu pagar utama bangunan SUK ditutup. Sidang akhbar Nizar diganggu dua kali oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahman Hashim dan Ketua Polis Ipoh, Azisman Alias. Nizar juga enggan mengadakan pertemuan dengan Abdul Rahman dan kemudiannya beredar bersama yang lain ke kediaman rasminya di mana beliau dijangka mengadakan satu sidang akhbar. Semua wartawan keluar dari bangunan itu. Pada kira-kira jam 10.42 pagi, kelihatan kereta menteri dan semua kenderaan exco bergerak keluar dengan diringi oleh kereta polis. Berikut adalah rentetan peristiwa pagi tadi. 9.30 pagi: Anggota exco negeri Pakatan Rakyat berkumpul di kediaman rasmi menteri besar. 9.40 pagi: Nizar, yang berpakaian Melayu berwarna hijau dan barisan exco tiba di bangunan SUK. Pada mulanya pintu ditutup, selepas menemui pengawal, mereka dibenarkan masuk. Nizar terus ke pejabatnya tetapi mendapati ia telah dikosongkan. 10.15 pagi: Nizar dan anggota exco mengadakan sidang akhbar sebelum ia diganggu oleh Abdul Rahman dan Azisman. Abdul Rahman dengan kasar mengarahkan wartawan supaya meninggalkan bilik tersebut. Exco kanan kerajaan negeri, Ngeh Koo Han kedengaran memberitahu Azisman supaya mematuhi prosedur. 10.20 pagi: Nizar dan anggota exco berkereta keluar dari pejabat SUK, balik ke kediaman rasminya. 10.45 pagi: Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Ahmad berkata polis telah mengawal pejabat SUK atas permintaan setiausaha kerajaan negeri. |
No comments:
Post a Comment