Abdul Rahim Sabri | Feb 6, 09 6:39pm |
Selepas bertahun-tahun hidup sebagai setinggan dan melalui ranjau suka duka kehidupan, akhirnya 68 keluarga Kampung Berembang, Ampang akan memiliki rumah sendiri. Pengagihan rumah tersebut akan diumumkan dalam majlis kesyukuran Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Berembang esok. Ketika dihubungi Malaysiakini, Pengerusi Jawatankuasa Penyelesaian dan Rayuan Kg Berembang, Noralizan Ali berkata majlis tersebut dijadualkan berlangsung jam 12.30 tengahari. Katanya, majlis anjuran kerajaan Selangor itu, akan dirasmikan oleh oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim. Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali dijangka turut hadir. Kampung Berembang menarik perhatian umum apabila pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan bantuan polis dan Rela melancarkan operasi merobohkan beberapa rumah di kampung itu pada 17 November 2006. Walaupun penduduk membuat rayuan, tetapi kerja-kerja perobohan itu diteruskan juga pada 20 dan 30 November tahun yang sama. Manakala pada 7 Mac 2007, sebuah pemaju swasta telah bertindak merobohkan semua rumah penduduk di situ. 'MB kotai janji' Penduduk kemudian memfailkan injunksi terhadap MPAJ kerana didakwa mengeluarkan notis pengusiran yang ‘tidak sah’ mengikut Ordinan Darurat (Peraturan Pembersihan Setinggan) 1969. Berikutan keputusan mahkamah, keadaan kembali kepada status awal sebelum kerja-kerja perobohan itu dilakukan. Oleh itu, dari segi teknikalnya, penduduk dibenarkan pulang semula ke Kampung Berembang. Sementara itu, Noralizan berkata, persetujuan untuk mengagihkan rumah sendiri kepada penduduk terbabit dicapai hasil pertemuan beliau dan enam wakil penduduk dengan Khalid Ibrahim pada 22 Januari lalu. Dalam pertemuan tersebut, kata Noralizan, menteri besar Selangor berjanji untuk menyelesaikan masalah mereka dalam masa dua minggu. "Majlis esok menunjukkan beliau mengotakan janjinya," kata Noralizan sambil menambah kerajaan negeri akan mengurus semua persiapan majlis tersebut, termasuk jemputan. Pemberian rumah tersebut bersesuaian dengan dasar kerajaan Pakatan Rakyat, pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim yang mahu meneruskan dasar membersihkan semua penempatan setinggan di negeri tersebut. Bayaran pampasan Katanya, rumah PPR yang dikenali Berembang Indah setinggi 21 tingkat itu, terletak bersebelahan perumahan di Jalan Jelatek. Ia masih belum siap sepenuhnya. Pembinaannya dijangka siap sepenuhnya April ini, tetapi Noralizan menjangka ia akan berlanjutan sehingga Jun depan. Pada masa ini, kerja-kerja pembinaan tingkat terakhir rumah PPR tersebut sedang dijalankan. Ditanya mengenai pampasan yang akan diterima oleh kesemua 68 keluarga tersebut, Noralizan berkata: "Menteri besar akan umumkan sendiri esok." Menurutnya, sebahagian lagi penduduk asal Kampung Berembang yang telah berpindah di rumah PPRT di Jinjang dan Puchong, juga akan berpindah ke PPR Berembang Indah. PPR Berembang Indah mempunyai sebanyak 694 unit. http://www1.malaysiakini.com/news/97773 |
No comments:
Post a Comment