Saturday, February 7, 2009

Ketua Geng Lekir tersungkur

BANTING - Setelah dua tahun sindiket samun kenderaan 'Geng Lekir' bermaharajalela di Selangor, kumpulan itu akhirnya lumpuh selepas ketuanya ditahan.

Ketua kumpulan berusia 24 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Sijangkang di sini pukul 1 pagi semalam.

Ketua kumpulan itu cedera di tangan dan paha akibat ditembak polis selepas enggan menyerah diri malah dia cuba melanggar anggota polis dengan kereta.

Pada 20 Januari lalu, enam ahli 'Geng Lekir' diberkas di sekitar Bukit Raja dan Bandar Sri Damansara. Bersama-sama penjenayah yang ditahan, polis menemui semula empat buah kereta curi dan barangan berharga yang kesemuanya bernilai RM300,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II Hasnan Hassan berkata, sebelum ditahan, suspek dipercayai berada di stesen minyak itu atas urusan menjual sebuah kereta Perdana V6 milik seorang anggota polis yang dicuri di Bandar Baru Sunway dekat sini pada 19 Januari lalu.

Menurut beliau, suspek cuba melarikan diri sebaik menyedari gelagatnya diperhatikan sekumpulan anggota polis.

"Dia memecut kereta curi yang dipandunya dan cuba melanggar anggota polis yang ingin menahannya,'' kata beliau.

Tindakan suspek itu menyebabkan anggota polis tersebut melepaskan beberapa das tembakan sehingga dia tidak boleh memandu kereta berkenaan.

Hasnan memberitahu, polis yang memeriksa kereta itu menemui empat bilah parang dan nombor pendaftaran kenderaan palsu.

Dengan tertangkapnya lelaki itu, polis percaya mereka dapat menyelesaikan 50 kes samun kenderaan di negeri ini sejak dua tahun lalu.

Suspek telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan dan keadaannya stabil.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...