Kebanyakan kilang menutup operasi mereka selama dua hingga tiga minggu setiap bulan kerana permintaan terhadap produk pengeluaran kilang semakin berkurangan. Ini mendorong majikan menyuruh pekerja mengambil cuti tanpa gaji. Rintihan mereka dikongsi bersama wartawan Kosmo! KHADIJAH MOHAMAD NOR dan jurugambar, IZHAM JAAFAR serta RASHID MAHFOF.
KRISIS ekonomi global yang melanda dunia menyebabkan berpuluh-puluh ribu pekerja terutamanya di sektor perkilangan berhadapan dengan pelbagai masalah dan dilema termasuk diberhentikan kerja.
Di Malaysia sendiri, kesannya turut dirasai oleh hampir semua pekerja kilang yang mungkin kehilangan pekerjaan apabila pihak majikan mahu mengambil langkah mengurangkan pekerja.
Malah, sehingga 12 Januari lalu, Kementerian Sumber Manusia telah mengesahkan seramai 14,000 pekerja dari pelbagai sektor telah diberhentikan kerja kesan daripada kegawatan ekonomi global.
Menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang disambut pada hujung Januari lalu pula, kebanyakan kilang menutup operasi mereka selama dua hingga tiga minggu kerana permintaan terhadap pengeluaran produk kilang semakin berkurangan.
Disebabkan itu, pihak majikan meminta semua pekerja mengambil cuti sama ada cuti bergaji atau tanpa gaji. Untuk cuti yang bergaji, pekerja perlu menghabiskan semua baki cuti tahunan di mana jika berlaku perkara kecemasan, mereka tidak lagi boleh mengambil cuti.
Situasi itu mencetuskan rasa tidak puas hati pekerja kilang kerana sudah tentu mereka terpaksa mengambil cuti tanpa gaji jika berlaku kematian atau perkara cemas yang lain.
Bagi sekumpulan pekerja sebuah kilang elektronik di Shah Alam, Selangor, masalah ekonomi sekarang telah menjejaskan kehidupan seharian mereka.
"Apabila diminta bercuti tanpa gaji, tentulah pendapatan bulanan akan berkurangan. Kesannya, rutin kehidupan kami yang perlu membayar ansuran rumah, kereta dan lain-lain terjejas teruk.
"Jika dahulu, antara RM100 hingga RM200 dapat dikirim ke kampung untuk ibu bapa, tetapi dalam keadaan sekarang, nak kirim RM50 pun susah. Bukan kerana lupa orang tua di kampung, tetapi belanja kami yang hidup di bandar ini pun tidak mencukupi.
"Walaupun masih bujang, kami tetap merasai keperitannya. Kalau yang sudah berkeluarga, bayangkan apa nasib mereka?," kata Shaaban Johdi, 30, seorang juruteknik yang telah enam tahun bekerja di kilang tersebut.
Kesan kegawatan ekonomi turut menyebabkan Shaaban terpaksa menangguhkan rancangan perkahwinannya kerana bimbang jika masalah ini berlarutan dalam satu tempoh yang lama, ia boleh merumitkan kehidupan barunya kelak.
Selain Shaaban, pasangan suami isteri, Mohd. Zaki Satari, 33, dan Wan Azuni Ismail, 30, yang mencari rezeki di kilang tersebut turut berdepan dengan masalah kewangan.
Mereka yang telah memiliki sepasang cahaya mata berusia enam dan satu tahun terpaksa menghantar anak-anak mereka ke kampung kerana kekurangan bajet untuk menghantar mereka ke pusat jagaan kanak-kanak.
"Memanglah sedih kerana terpaksa berpisah dengan anak-anak. Tetapi, kami tiada pilihan. Untuk mengupah pengasuh, kami memerlukan belanja antara RM300 hingga RM500 sebulan.
"Namun, disebabkan gaji kami semakin berkurangan, wang sebanyak itu amat bermakna dan boleh digunakan untuk membayar ansuran rumah atau kereta," jelas Wan Azuni sambil memaklumkan anak mereka dihantar ke rumah mertuanya di Perak sejak dua bulan lalu.
Bagi suaminya yang bertugas sebagai juruteknik di kilang tersebut, pendapatannya dahulu boleh mencecah antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan apabila dicampur bayaran kerja lebih masa dan elaun. Tetapi pendapatan itu kini, katanya berkurangan hampir separuh.
"Sekarang, saya hanya menerima gaji asas sahaja dan tidak dibenarkan bekerja lebih masa (OT). Pihak majikan juga mengurangkan hari bekerja dengan meminta kami bercuti, tetapi melebihkan waktu bekerja sehingga 12 jam sehari tanpa boleh menuntut OT.
"Saya kesal dengan sikap majikan yang lebih mementingkan diri sendiri daripada menjaga kebajikan pekerja yang bertungkus-lumus membangunkan syarikat," ujar Zaki yang tidak menolak kemungkinan untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan seperti menjual nasi lemak atau burger bagi menampung pendapatan.
Bagi operator pengeluaran di kilang yang sama, Rozana Musa dan Suliza Beddu yang masing-masing berusia 22 tahun, mereka turut merasai kesempitan hidup apabila tidak dibenarkan bekerja.
"Kami bekerja di bahagian operator pengeluaran dan hanya mengharapkan OT sebagai sumber untuk menambah gaji asas yang diterima. Tetapi apabila kami terpaksa bercuti tanpa gaji, ia amat menjejaskan pendapatan kami.
"Sejak setahun bekerja di sini, kami mampu menerima gaji sehingga RM1,700 sebulan. Tetapi, pada masa sekarang, hendak cecah RM1,000 pun susah. Kami hanya dibayar gaji pokok sebanyak RM500. Jadi, dengan wang sebanyak itulah, kami perlu berjimat-cermat," kata Rozana yang berasal dari Pahang.
Menurutnya, ekoran pendapatan yang berkurangan, Rozana dan Suliza tidak lagi mampu untuk keluar menonton wayang atau makan di restoran makanan segera seperti yang biasa dilakukan mereka sebelum ini semata-mata mahu mengurangkan bajet harian setakat yang termampu.
"Duit untuk dikirim ke kampung juga tiada dalam senarai bajet kami. Memanglah sedih tetapi nasib baik ibu bapa memahami situasi kami dan tidak kisah jika tiada peruntukan wang untuk mereka," tutur Suliza yang berasal dari Tawau, Sabah.
Kesemua pekerja kilang tersebut telah diarah bercuti selama dua minggu dan disambung lagi sempena perayaan Thaipusam.
Sementara itu, bagi seorang pengurus di sebuah kilang yang membekal bahan-bahan pembinaan di Balakong, Selangor yang tidak mahu dikenali berkata, pihak majikan langsung tidak mempedulikan masalah yang dihadapi pekerja.
Beliau mendakwa majikan lebih mementingkan periuk nasi sendiri dan mengambil jalan mudah dengan menyuruh pekerja bercuti tanpa gaji dengan alasan stok barang-barang sudah terlalu banyak dan tiada permintaan.
"Saya telah bekerja di kilang itu hampir 19 tahun. Jadi, saya tahu kestabilan syarikat tersebut terutama di pasaran luar kerana kami hanya mengeksport barang-barang ke negara luar.
"Justeru, apabila pekerja diperlakukan sebegini iaitu dipaksa bercuti tanpa gaji, sudah pasti mereka mengadu kepada saya sebagai pengurus kilang. Apabila saya bawa hal ini ke pihak pentadbiran, mereka langsung tidak mahu bertolak-ansur dengan pekerja.
"Setakat ini, pihak majikan akan menghantar pulang pekerja asing secara berperingkat. Tetapi nasib 20 pekerja tempatan yang bekerja di situ masih belum diketahui. Apa pun, saya yang mewakili pekerja amat berharap pihak majikan dapat mencari satu jalan penyelesaian terbaik untuk semua," katanya yang ditemui Kosmo! di sebuah gerai makanan di Balakong.
Menurutnya, gerai itu dibuka sejak tiga minggu lalu sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya majikan memberhentikan pekerja termasuk dirinya.
"Alhamdulillah, setakat ini, sambutan yang diterima agak memberangsangkan walaupun gerai ini cuma dibuka pada waktu malam sahaja. Semua ini saya lakukan untuk menampung perbelanjaan keluarga," kata lelaki berusia 49 tahun ini dan merupakan bapa kepada tujuh orang anak serta datuk kepada dua orang cucu.
VSS jadi pilihan
PEKERJA kilang yang ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) mungkin lebih bertuah berbanding pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji dan berdepan risiko diberhentikan kerja.
Ini kerana mereka yang telah lama bekerja di sesebuah kilang, sudah tentu akan menerima balasan setimpal dengan perkhidmatan mereka atau dalam erti kata lain menerima sejumlah wang pampasan yang banyak.
Salah seorang pekerja yang memilih untuk mengambil VSS apabila ditawarkan majikan berkata, ia satu langkah bijak kerana wang pampasan yang diterima mungkin boleh dijadikan modal untuk memulakan perniagaan sendiri.
“Apabila majikan mengumumkan pemberian VSS kepada pekerja, saya nekad menerimanya selepas memikirkan risiko lain yang lebih buruk terutama diberhentikan kerja tanpa sebarang pampasan.
“Mungkin dengan duit itu, saya akan membuka restoran atau kedai menjahit pakaian. Walaupun berat hati saya untuk meninggalkan pekerjaan yang telah sebati dalam diri, tetapi demi meneruskan kehidupan, saya tabah menghadapinya.
“Tambahan pula, saya mempunyai isteri dan empat orang anak yang perlu ditanggung dan sebagai suami dan bapa, saya bertanggungjawab memberi yang terbaik untuk mereka. Keputusan mengambil VSS pun saya buat setelah berbincang dengan isteri dan ibu bapa di kampung,” kata Ahmad Nurbi Mohamad Nor yang bekerja di sebuah kilang di Tangga Batu, Melaka.
Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam baru-baru ini berkata, kerajaan telah mengenal pasti sebanyak 15,000 jawatan kosong dalam pelbagai sektor di bawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia.
“Kita juga telah menyediakan sebanyak 80 buah pusat pemantauan pemberhentian pekerja di pejabat-pejabat Jabatan Tenaga Kerja di seluruh negara bagi memudahkan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan mendapatkan maklumat termasuk mendaftar bagi mengisi kekosongan jawatan yang ada,” katanya selepas merasmikan Agro Explosion 2009 Seminar & Workshop di Kuala Lumpur baru-baru ini.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm
No comments:
Post a Comment