Saturday, February 7, 2009

Agensi risikan Pakistan dalang serangan - India

NEW DELHI - Setiausaha Luar India, Shivshankar Menon menuduh agensi perisikan tentera Pakistan, ISI mempunyai kaitan dengan para perancang serangan di Mumbai pada tahun lalu.

Kenyataan beliau merupakan kali pertama dikeluarkan New Delhi terhadap organisasi yang mendalangi serangan pada November tahun lalu itu.

"Para penyerang merancang, berlatih dan melancarkan serangan dari Pakistan manakala para perancangnya ialah pelanggan dan anak didik ISI," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu persidangan hubungan luar di Paris kelmarin dan teks ucapan itu diberikan kepada media oleh Kementerian Luar India keesokan harinya.

Hubungan antara India dan Pakistan tegang sejak kumpulan militan itu membunuh 179 orang ketika serangan ke atas Mumbai dilancarkan.

Sebagai tindak balas, India menggantung dialog dengan Pakistan.

Dalam ucapannya, Menon menuduh Pakistan berdolak-dalih dalam menyiasat dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Pakistan sehingga kini menafikan agensi kerajaannya terlibat dalam serangan kejam itu dan menyatakan ia sedang menyiasat maklumat yang diberikan oleh India mengenai kes tersebut. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...